REKAAN gaun pengantin Rico Rinaldi.
REKAAN gaun pengantin Rico Rinaldi.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Sudah tiga minggu tirai 2016 berlalu. Dalam industri fesyen, pelbagai perkara diperkatakan daripada jenama popular, potongan, fabrik sehingga warna pilihan 2016 menjadi perbualan utama. Siapa yang paling rancak mencorakkan industri fesyen sudah tentu pereka antarabangsa yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam membawakan jenama mereka ke seluruh dunia.

Bagi pereka Rico Rinaldi sebagai seorang penggerak nadi industri fesyen tempatan, kedatangan 2016 menjadi lembaran baru yang amat dinantikan. Ramai pereka fesyen tempatan mahupun luar negara melakukan persiapan rapi dan perancangan untuk menghadapi tahun ini.

Mungkin ramai tidak tahu sebagai pereka, berakhirnya 12 bulan bukan bererti mereka boleh duduk diam dan bersuka ria menyambut kedatangan tahun baru, sebaliknya hiruk-piruk dan kesibukan sesebuah rumah fesyen itu sebenarnya menandakan mereka sedang melakukan sesuatu.

“Inilah sebenarnya yang menjadi keajaiban dan rahsia jenama fesyen antarabangsa. Persiapan rapi yang dibuat ini kebiasaannya berlaku selepas selesai sesuatu musim dan setiap rumah fesyen, daripada pakar pola sehingga jurujahit manik mula sibuk menanti coretan lakaran pereka fesyen,” katanya.

Ini kerana setiap lakaran yang tiba di hadapan pekerja ini suatu yang amat penting dan dinantikan. Ia umpama sebuah bom tangan yang akan meletus setelah kuncinya dibuka. Setelah dipertontonkan kepada umum koleksi pakaian sesebuah jenama ini, ia menjadi ikutan ramai dan dikenali sebagai trend.

Kejayaan sesebuah jenama pula bergantung kepada trend rekaan busana yang dihasilkan terutama yang dipertontonkan di pentas peragaan. Ia suatu titik tolak aliran fesyen kerana sesebuah pertunjukan fesyen itu boleh menjadi rebutan pembeli fesyen dari seluruh pelosok dunia atau hanya menjadi suatu kejayaan di pentas peragaan saja.

Bukan itu saja, setiap kali berakhirnya pertunjukan fesyen, ramai pengkritik dan editor fesyen mula melakukan tugas masing-masing dan catatan serta gambar daripada rekaan yang digemari mula menghiasi helaian majalah. Bermula dari situ, trend sesebuah rumah fesyen itu mula tersebar meluas dan menjadi tatapan penggemar fesyen.

Hal ini tidak kurang juga dengan industri fesyen tempatan. Isu trend sering diperkatakan setiap kali tiba tahun baru. Soalan lazim yang ditanyakan ‘Apakah trend untuk tahun ini’ atau ‘Masih trend lagi tak stail ini’ sudah menjadi suatu kebiasaan.

“Namun tidak dinafikan negara kita bukan negara yang menjadi nadi pencetus trend fesyen di dunia, malah tidak juga di Asia Tenggara. Isu trend di negara kita masih relevan, namun tidak ramai yang memandang serius.

Antara trend yang sedang dibualkan terutama ketika pertunjukan fesyen ialah ‘less is more’. Trend ini sememangnya sudah menjadi sebutan ramai, namun apakah yang dimaksudkan dengan trend ‘less is more’ itu? Padanan pakaian perlulah bersesuaian dengan diri dan ke mana anda pergi. Pilih pakaian bersesuaian dengan tubuh badan dan personaliti yang ingin ditonjolkan. Sesuatu padanan pakaian itu cukup jika hanya satu ‘kenyataan’ diberikan daripada keseluruhan penampilan anda.

“Misalnya, gaun senteng polos paras lutut berwarna kusam dipadankan lapisan jaket ringan motifnya, namun punyai potongan box jaket, sesuaikan dengan solekan ringan namun gincu yang agak terang. Anda boleh ke mana saja dari siang ke malam. Manakala untuk wanita berhijab, anda sememangnya perlu mengetahui yang anda hanya perlu memilih satu penampilan yang ingin ditonjolkkan, sama ada lilitan tudung atau pakaian yang anda pakai.

“Jika gaun polos, sesuaikan dengan padanan lilitan tudung bercorak yang berani, tetapi menarik dan sebaliknya jika anda memakai gaun bermotif,” katanya.

Pilihan warna pastel

Bagi Rico, pemilihan warna bagi 2016 juga cukup menarik minatnya dan juga pereka fesyen yang lain. Kala melihat pereka fesyen antarabangsa melabuh tirai pertunjukkan fesyen 2015, banyak hamparan warna moden yang menarik namun kebanyakannya berunsur pastel.

Himpunan rekaan pereka luar negara, daripada Antonio Berardi ke Chanel dan daripada Christian Dior ke Araks sungguh jitu warnanya, tapi masih daripada kategori warna pastel. ‘Less is more’ terletak pada gabungan bentuk potongan baju yang kini makin ringkas. Tanpa sebarang ropol sarat mahupun jahitan manik jemaki seperti tahun lalu.

Malah gerakan trend ini di Malaysia tidak kurang tolok bandingnya. Ada kalangan penggemar fesyen kini sudah tahu gaya suai padan ringkas, tetapi punya mesej tersendiri. Cukup dengan padanan kemeja warna unik bersama denim semi ketat di betis digaya bersama ‘neckpiece’ berlapis, itulah gaya ‘less is more’ anak muda kini.

“Lebih menarik, tahun ini dapat dilihat hamparan kain bercorak atau bermotif abstrak unik yang akan menjadi trend. Bermula dengan motif bercorak pada jaket dan skirt, rekaannya tampak sarat dengan motifnya tetapi dengan potongan baju yang ringkas menjadikan rekaan terbabit juga padan dengan trend less is more,” katanya.

Tambahnya, paduan warna pastel daripada lavender merah jambu dan hijau pudina cukup memberi impak baru dalam motif kain bercorak. Antara pereka fesyen antarabangsa yang mengetengahkan rekaan bercorak pada 2016 ialah seperti Jason Wu, Just Cavalli dan Matthew Williamson. Rekaan motif bercorak mereka tampak menarik walaupun dengan potongan baju yang ring­kas.

Di peringkat lebih global, trend ialah sesuatu yang akan beredar dengan begitu cepat dan berubah mengikut aliran pertunjukan fesyen jenama antarabangsa. Seterusnya aliran fesyen itu tiba di merata tempat seperti di negara Asia. Namun aliran trend itu juga bergantung kepada iklim sesebuah negara misalnya negara yang punya empat musim, lebih cepat trend mereka berubah.

Namun di Malaysia aliran trend sememangnya tidak terlalu dipengaruhi aliran trend antarabangsa kerana faktor cuaca dan cara hidup yang berbeza.

“Saya boleh mengklasifikasikan trend fesyen di Malaysia masih boleh dibang­gakan kerana umum kini punya banyak rujukan fesyen di majalah mahupun di laman sesawang. Selain itu pentas peragaan seperti Kuala Lumpur Fashion Week adalah suatu bahan rujukan yang paling berguna kerana barisan pereka yang menghasilkan rekaan untuk pertunjukan fesyen itu sedikit sebanyak mengajar umum untuk lebih mengetahui hal trend semasa.

“Lihat dan teliti aliran trend sekarang agar kita lebih ke hadapan dalam menerap trend terkini dalam cara berpakaian. Gunakan pelbagai medium dan media yang ada untuk belajar cara berpakaian yang mengikut gaya semasa kerana sememangnya anda tidak mahu dikenali sebagai mangsa fesyen atau ketinggalan,” ujar Rico.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:02 AM