Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang salah guna rangkaian komunikasi untuk berbuat perkara bertentangan dengan undang-undang negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mana-mana pihak yang menyalahgunakan rangkaian komunikasi dengan membuat, mewujudkan, memulakan penghantaran, berkongsi atau 'repost' apa jua kenyataan bertentangan dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Hasutan 1948 dan lain-lain undang-undang berkaitan akan dikenakan tindakan.

"PDRM akan ambil tindakan ikut undang-undang kepada mereka yang menyalahgunakan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian komunikasi yang boleh memudaratkan masyarakat.

"Saya menasihatkan agar masyarakat mengambil sikap bertanggungjawab ketika gunakan kemudahan rangkaian komunikasi atau aplikasi media sosial," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, penyebaran dan perkongsian berita tidak bertanggungjawab bertujuan mengaibkan pemimpin negara dikesan semakin menjadi-jadi hingga menimbulkan persepsi lemahnya penguatkuasaan undang-undang secara berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 12:03 AM