Pendaki warga UK diselamatkan anggota MOSAR selepas mengalami sesak nafas. FOTO Ihsan Bomba
Pendaki warga UK diselamatkan anggota MOSAR selepas mengalami sesak nafas. FOTO Ihsan Bomba
Fardy Bungga


PENDAKI warga United Kingdom diselamatkan selepas mengalami sesak nafas ketika berada di Penginapan Panden Hut, Gunung Kinabalu, Ranau semalam.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa Isobel Molly Clarke, 23, difahamkan meminta bantuan pengurusan gunung selepas dilaporkan mengalami sindrom akut gunung (AMS).

Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.40 malam berhubung kejadian.

Katanya, tujuh anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) dikejar ke lokasi bersama sebuah jentera EMRS untuk memberi bantuan segera.

“Sebaik tiba, mangsa diberikan rawatan awal bagi menstabilkan keadaan sebelum dibawa turun menggunakan kaedah ‘piggy back carry’.

“Mangsa seterusnya dibawa ke Timpohon Gate sebelum diserahkan kepada pasukan EMRS untuk dibawa ke Hospital Ranau,” katanya.

Mohd Hasbi berkata, operasi ditamatkan pada 1.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 12:04 PM