Cameron Highlands: Masyarakat India yang meminjam dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) digesa membuat bayaran balik pinjaman itu memandangkan pada masa ini hanya 50 peratus daripada mereka yang berbuat demikian.

Justeru, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel meminta pegawai daripada Tekun berjumpa dan berbincang dengan peminjam terbabit supaya mereka dapat menjelaskan jumlah pinjaman yang dibuat.

“Apabila mereka (peminjam) membayar pinjaman Tekun, kerajaan dapat membantu individu lain yang ingin membuat pinjaman,” katanya selepas melancarkan Kem Perubatan Astro di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kuala Terla, di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2015 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM500 juta kepada Tekun untuk pembiayaan keusahawanan iaitu RM50 juta bagi masyarakat India, RM350 juta (usahawan Bumiputera) RM50 juta (usahawan wanita muda), RM50 juta (program pembangunan usahawan bekas tentera).

Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, menyifatkan Bajet 2015 sebagai memperkasakan masyarakat dan semua kementerian mendapat peruntukan masing-masing.

“Bajet ini sangat baik kerana mengambil kira kebajikan semua lapisan masyarakat. Saya harap bajet pada tahun berikutnya meningkat termasuk peruntukan untuk masyarakat India,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 8:17 PM