Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Tengku  Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Tengku Zafrul Abdul Aziz.
INSENTIF pengecualian cukai jualan kereta diberikan ke atas pembelian keluaran tempatan atau import sedan.
INSENTIF pengecualian cukai jualan kereta diberikan ke atas pembelian keluaran tempatan atau import sedan.

TINGGAL empat bulan lagi untuk rakyat Malaysia menikmati insentif pengecualian cukai jualan kereta ke atas pembelian keluaran tempatan atau import sedan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Kementerian Kewangan, menerusi Bajet 2022, melanjutkan tempoh insentif pengecualian cukai jualan kereta sehingga 30 Jun 2022 bagi menggalakkan pemilikan kereta, merangsangkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.

"Di bawah Bajet 2022, pengecualian cukai jualan kereta kekal seperti mana sebelum ini iaitu pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD).

"Manakala, pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus diberikan ke atas kenderaan penumpang pemasangan luar negara (CBU) termasuk MPV (kenderaan pelbagai guna) dan SUV (kenderaan utiliti sukan) merangkumi CBU import baharu dan CBU import terpakai," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat ke-86 semalam.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya kerajaan menyalurkan RM20.355 bilion kepada 357,530 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian 2,953,820 pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Beliau berkata, setakat 11 Februari 2022 RM17.44 juta disalurkan kepada 1,744 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 29,065 pekerja.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.perkeso.gov.my/bajet-2022/sip-bajet-2022.html.

"Bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), RM21.72 juta disalurkan kepada 902 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro setakat 18 Februari lalu," katanya.

Skim ini satu inisiatif strategik kerajaan menerusi Tekun Nasional untuk membantu masyarakat India mempertingkatkan ekonomi menerusi penglibatan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

"Bagi masyarakat India yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta mereka yang ingin memajukan lagi perniagaan sedia ada, nilai pembiayaan yang disalurkan daripada RM1,000 sehingga RM100,000 bagi setiap usahawan mengikut kelayakan," katanya.

Tempoh bayaran balik pembiayaan sehingga 120 bulan pada kadar empat peratus setahun.

Tengku Zafrul berkata, program ini diberi peruntukan RM20 juta, iaitu RM5 juta daripada Belanjawan 2021 manakala penambahan sebanyak RM15 juta lagi daripada Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan kini diteruskan bagi 2022.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.tekun.gov.my/ms/usahawan-tekun/skim-pembangunan-usahawan-mas... t-india-spumi-2/.

Beliau berkata, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kerajaan memperuntukkan RM700 juta bagi membantu dan menggalakkan PKS serta syarikat di peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

"Setakat 11 Februari, sejumlah RM91.8 juta telah disalurkan kepada 13,891 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 7:10 AM