Madrid: David De Gea (gambar) berharap dapat kembali meletakkan namanya selaku penjaga gol utama Manchester United selepas beraksi dalam perlawanan kompetitif pertamanya musim ini ketika membantu Sepanyol menang 1-0 ke atas Macedonia pada kempen kelayakan Euro 2016, awal pagi semalam.

Jurulatih Vicente del Bosque memberikan De Gea peluang dengan memilih pemain itu berbanding kapten Iker Casillas untuk perlawanan di Skopje dan kemenangan hasil jaringan sendiri pemain lawan itu membolehkan Sepanyol selaku pendahulu Kumpulan C, layak ke pusingan akhir di Perancis tahun depan.

Hasrat De Gea untuk berpindah ke Real Madrid tidak kesampaian minggu lalu kerana kertas kerja mengenainya lewat dihantar manakala pengurus United Louis van Gaal tidak menurunkannya untuk bermain setakat ini.

“Saya rasa seronok, saya benar-benar mahu bermain,” kata De Gea yang jarang diuji sepanjang perlawanan berkenaan.

“Kini saya perlu terus berusaha dan lihat sama ada masa depan saya di kelab akan bertambah baik,” tambah bekas penjaga gol Atletico Madrid berusia 24 tahun itu.

“Saya hanya perlu bertenang, terus berusaha dan meningkatkan persembahan. Dalam erti kata lain, saya perlu terus menikmati karier saya.”

Sepanyol yang masih belum melepaskan sebarang gol sepanjang enam aksi kelayakan, mengetuai kumpulan dengan 21 mata, dua mata di depan Slovakia yang terikat seri tanpa jaringan dengan Ukraine.

Dalam usaha memburu kejuaraan ketiga di peringkat benua, Sepanyol bakal mengesahkan tempat ke pusingan akhir menerusi kemenangan ke atas Luxembourg pada 9 Oktober sebelum bertandang ke Ukraine tiga hari kemudian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:44 AM