Bukit Jalil: Pemain sayap lincah S Kunanlan kini menjadi antara pilihan utama jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh untuk beraksi di posisi pertahanan kanan selepas kehilangan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak akibat kecederaan.

Ketiadaan Aidil menyaksikan Dollah hanya memiliki Mahali Jasuli sebagai pertahanan kanan tulen dan pengendali itu mungkin terpaksa menukar posisi dua pemain sayap Kunanlan dan Mohd Azamuddin Akil bagi mengisi kekosongan itu.

Bagi Kunanlan, 28, posisi pertahanan kanan bukanlah sesuatu yang baru kerana pernah diberikan peranan itu ketika bersama Selangor.

“Saya kena bersedia bermain di posisi itu kerana Aidil cedera. Bagi saya tiada masalah bermain di pertahanan kanan. Bersama Selangor saya juga bermain di posisi itu dalam banyak perlawanan.

“Saya ada pengalaman bermain di pertahanan kanan termasuk dalam perlawanan Piala AFC,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaya semalam.

Kunanlan antara tonggak skuad kebangsaan ketika memenangi Piala AFF 2010 namun ketika itu pemain kelahiran Semenyih, Selangor itu lebih mengancam di bahagian sayap kiri dengan kepantasan dan kelincahan dimilikinya.

Menurut Kunanlan yang bakal beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim depan, dia yakin pasukan kali ini mampu memberikan aksi lebih baik berbanding dua tahun lalu apabila terkandas di separuh akhir.

“Ini kejohanan Piala AFF ketiga bagi saya. Kita tidak ada tekanan cuma perlu berikan komitmen 100 peratus. Ramai pemain sama dalam pasukan kali ini dan kita sudah tahu antara satu sama lain. Pasukan kali ini mempunyai jurulatih baru dan kami mahu buktikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:04 AM