PEMUZIK etnik turut mengiringi sesi zumba.
PEMUZIK etnik turut mengiringi sesi zumba.
ANTARA persembahan menarik.
ANTARA persembahan menarik.
Nurul Husna Mahmud


Urban Retreat Festival (MURFEST) Malaysia berlangsung di MATIC Kuala Lumpur baru-baru ini dilihat satu kelainan apabila tampil dengan konsep ‘Kesihatan, Muzik & Tarian’ dalam satu keramaian.

Malah kehadiran penulis di penghujung festival itu bagi sesi Drum Circle memberi gambaran untuk cergas bukanlah sesuatu membebankan. Festival yang sudah berlangsung masuk tahun ketiga apabila dianjurkan sejak 2014 lagi selama tiga hari itu turut menampilkan 80 jurulatih kecergasan, pemuzik mahupun artis berkelas dunia.

Tiada agenda lain melainkan satu fokus iaitu mendidik orang awam mengenai kepentingan menjaga kesihatan baik fizikal, mental mahupun jiwa menerusi perspektif berbeza.

Lihat saja kepelbagaian serta warna-warni semua acara berorientasikan ‘Urban Retreat’ tidak saja mampu menarik golongan muda dalam membentuk gaya hidup sihat malah menarik pelancong luar memeriahkan acara terbabit dengan kaedah menyeronokkan.

Banyak genre senaman baru

Peserta MURFEST 2016 Liyana Husni pada mulanya menyangkakan aktiviti disediakan hanya sesuai buat mereka kaki gimnasium semata-mata, namun persepsi berubah apabila menyaksikan pelbagai genre aktiviti sesuai diikuti golongan muda.

“Jika golongan pelajar seperti saya, terikat dengan bayaran serta komitmen setiap bulan tentu saja ia bebanan. Namun, apabila diadakan festival sebegini setidak-tidaknya mendedahkan kepada kami senaman menarik terdapat di pusat kecergasan. Dalam pada lain dapat membuat tinjauan mengenai pilihan senaman pada harga mampu.

“Tambah pula jurulatih ditampilkan cukup dikenali dan begitu bijak menarik perhatian. Mereka yang jarang berpeluang menyertai sebarang aktiviti kecergasan tidak kekok mencubanya.

“Antara aktiviti sempat saya lihat ialah capoeira, ‘fly yoga’ dan pelbagai jenis zumba menggabungkan pelbagai tarian membuatkan tapak festival berubah seperti acara keramaian,” katanya.

Selain dapat mengisi waktu lompong hujung minggu, gadis berusia 22 tahun itu berkata, dapat menjalin hubungan dengan kenalan baru.

“Seronoknya dalam festival ini kita tidak akan kekok kerana aktiviti dilakukan secara terbuka. Walaupun tidak mengenali satu sama lain, kita tidak kekok untuk menyapa mahupun beriadah bersama.

“Bersosial menerusi aktiviti sebegini jauh lebih sihat dan manfaat berbanding mengisi waktu lapang dengan perkara tidak berfaedah,” katanya.

Teruja dengan aktiviti ditampilkan

Sukarelawan MURFEST Wang Liang Jun menyifatkan tertarik dengan objektif penganjuran MURFEST, dia hadirkan diri selain tampil sebagai sukarelawan dalam slot terakhir.

“Ini kali pertama saya menyertai rakan sudah sedia terbabit selama tiga tahun dalam program ini. Menerusi dia saya mendapat maklumat berkaitan selain terpanggil untuk menjadi sukarelawan pada program terakhir, ‘Drum Circle’.

“Saya tidak menyangka kemeriahan acara ini melangkaui jangkaan. Semuanya tampil dengan tenaga cukup positif serta optimistik. Kesimpulannya pengunjung datang daripada pelbagai latar belakang kaum bersatu atas kesedaran mahu meningkatkan kualiti hidup menyokong antara satu sama lain.

“Meskipun kesempatan saya menyertai sangat terhad pada acara kali ini, kelak saya merancang untuk meluangkan lebih masa di festival berkenaan dan menyertai seberapa banyak acara,” katanya berharap mempelajari tarian pula dalam festival akan datang.

Dalam acara berkenaan instruktor kecergasan Brasil Fitness Lilica Vargas menampilkan demonstrasi Capoiera selain memberi peluang pengunjung mencuba rutin nyanyian unik mengiringi persembahan seni mempertahankan diri dari Amerika Selatan itu.

PROFIL:

NAMA: Liyana Husni

UMUR: 22 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

PERANAN: Peserta

NAMA: Wang Liang Jun

UMUR: 28 tahun

ASAL: Serdang, Selangor

PERANAN: Sukarelawan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:04 AM