MAYAT wanita yang ditemui.
MAYAT wanita yang ditemui.
Oleh Nur Syazwana Mansor


Pendang: Pihak polis sudah mengenalpasti identiti mayat wanita yang ditemui terapung dalam sungai berhampiran Kampung Kuala Rimau, Mukim Padang Pusing Pendang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, identiti mangsa Kulsum Kori Mullah, 18, warga Myanmar disahkan oleh suaminya yang tampil membuat laporan polis berhubung kehilangan isterinya.

Menurutnya, suami mangsa juga menyedari kejadian itu apabila melihat gambar wanita terbabit yang tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

“Hasil siasatan suami mangsa juga ada memberitahu isterinya itu mengalami kemurungan sejak keguguran pada 26 Ogos lalu dan berlaku sedikit pertengkaran antara mereka kerana mangsa enggan ke hospital akibat kerap mengalami pendarahan selepas keguguran.

“Bedah siasat juga mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan penemuan satu mayat wanita terapung di dalam sungai berhampiran Kampung Kuala Rimau, Mukim Padang Pusing Pendang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 1:42 PM