Gambar hiasan
Gambar hiasan
Rohaniza Idris


KEMENTERIAN Sumber Manusia melantik Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) bagi mengkaji isu pengambilan pekerja asing sebagai tukang masak.

Timbalan Menteri Tenaga Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata kajian itu akan meneliti cadangan supaya penggajian tukang masak dan pembantu tukang masak warga asing digantikan dengan pekerja tempatan.

Katanya, kajian berhubung tukang masak dan restoran mamak itu termasuk dalam kajian bagi subsektor industri makanan dan minuman.

“Kerajaan menunggu kajian itu dan kita ingin menegaskan isu tukang masak ini tiada kaitan dengan mana-mana kaum.

“Keputusan muktamad pengambilan tukang masak asing ini akan diketahui Oktober ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri M Saravanan (BN-MIC Tapah) mengenai garis panduan pengambilan tukang masak untuk restoran di negara ini dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Saravanan mengenai latihan industri untuk pelajar yang tercicir, Mahfuz berkata, latihan industri bagi kursus berkaitan kulinari dan masakan diteruskan.

Justeru, katanya, restoran tempatan boleh mengambil pelatih berkenaan untuk menjadi tukang masak bagi mengatasi masalah pergantungan kepada pekerja asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 3:25 PM