PENERIMA anugerah kecemerlangan  bersama Dr Mohd Shukri.
PENERIMA anugerah kecemerlangan bersama Dr Mohd Shukri.
Ruhaiza Rusmin

Seramai 1,718 graduan dari 21 bidang pengajian di Kumpulan Kolej PTPL diraikan dalam majlis graduasi kali ke-20 yang berlangsung di Dewan Canselor Management & Science University ( MSU), Shah Alam, baru - baru ini.

Graduan berkenaan dari empat sekolah pengajian iaitu Sekolah Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional, Sekolah Sains Kesihatan, Sekolah Sains Maklumat dan Kejuruteraan dan Sekolah Hospitaliti dan Seni Kulinari.

Presiden Kumpulan Kolej PTPL dan MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, saban tahun pencapaian pelajar Kolej PTPL meningkat sekali gus menjadi pilihan utama industri.

Menurutnya, peningkatan itu sekali gus menunjukkan keupayaan Kolej PTPL dalam melahirkan graduan menepati kehendak majikan dengan tambahan nilai kebolehpasaran yang tinggi.

“Ini satu pencapaian membanggakan kerana menjadi hasrat Kolej PTPL melahirkan pelajar yang mampu menepati keperluan industri.

“Pelajar Kolej PTPL bukan saja ditekankan dengan kepentingan pencapaian akademik malah pelbagai nilai kemahiran dan kebolehpasaran yang sangat diperlukan industri hari ini.

“Penekanan diberikan itu menjadi pemangkin kepada graduan untuk memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.

Majlis disempurnakan Pengerusi Kumpulan Kolej PTPL dan Pro Canselor MSU Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Turut diraikan, 20 graduan terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia ( TLDM) yang menerima diploma masing - masing dalam bidang perkhidmatan makanan dan pengurusan restoran.

Ia hasil kerjasama antara Kumpulan Kolej PTPL dan TLDM untuk memberi akses pendidikan kepada anggotanya.

Tiga kategori anugerah kecemerlangan turut diberikan kepada 19 graduan sebagai pengiktirafan pencapaian dalam akademik dan kokurikulum iaitu Anugerah Emas Presiden, Anugerah Mohd Shukri Yajid serta Anugerah Akademik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 12:05 PM