Anwar dan Dr Wan Azizah bergambar kenangan bersama Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan isteri Louise Araneta-Marcos. FOTO BERNAMA
Anwar dan Dr Wan Azizah bergambar kenangan bersama Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan isteri Louise Araneta-Marcos. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Manila: Usaha mencapai kedamaian di Mindanao, yang terletak di selatan Filipina, harus berjaya kerana kegagalannya mampu menjejaskan bukan hanya negara itu dan Malaysia tetapi juga seluruh rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memuji Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr kerana mengorak langkah yang besar dalam usaha memastikan proses damai di Mindanao mencapai kejayaan.

"Adalah menjadi tugas kita (Malaysia) sebagai jiran yang baik untuk menyokong usaha ini, kita harus memanfaatkan semua kaedah dalam hubungan dua hala dan pelbagai hala untuk mencapainya.

"Proses damai (di Mindanao) ini harus berjaya kerana ia bukan sahaja mampu menjejaskan Filipina dan Malaysia tetapi juga seluruh rantau ini," katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Marcos di Istana Malacanang di sini.

Anwar tiba di Manila hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari, yang kelima ke negara ASEAN selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada akhir tahun lalu.

Terdahulu, Anwar diberikan sambutan rasmi di Istana Malacanang dan beliau turut memeriksa kawalan kehormat yang dibarisi 165 anggota Angkatan Tentera Filipina.

Mengiringi Perdana Menteri semasa lawatan rasmi itu ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa anggota Kabinet beliau.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia kekal komited untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam proses damai di Mindanao.

"Malaysia juga akan terus menawarkan bantuan kepada masyarakat Bangsamoro dan pelbagai program pembinaan keupayaan termasuk menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP)," katanya.

Beliau berkata terdapat peluang besar yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara sekiranya usaha damai di Mindanao meraih kejayaan.

Sementara itu, Presiden Marcos memuji kemajuan yang dicapai ke arah keamanan yang mampan dan inklusif di Mindanao.

"Ia adalah gabungan selama bertahun-tahun dan usaha serta keikhlasan dalam kalangan semua pihak yang bakal merealisasikan dividen kedamaian tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata Filipina mengiktiraf sumbangan besar Malaysia dalam proses damai di selatan negara itu.

Katanya beliau berharap sokongan yang ditunjukkan oleh Malaysia akan terus menyumbang kepada kejayaan proses damai dan penubuhan Wilayah Autonomi Bangsamoro.

Menyentuh isu imigran Filipina di Malaysia, Anwar berkata beliau telah meminta bantuan dan kerjasama negara itu untuk mempercepat proses dokumentasi supaya mereka boleh dihantar pulang tepat pada masanya.

"Saya turut mengulangi kesediaan Malaysia untuk mengadakan perbincangan dengan Filipina mengenai kaedah menangani pendatang tanpa izin dari negara itu di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 8:51 PM