MOHMAD Najid menunjukkan sijil diterima.
MOHMAD Najid menunjukkan sijil diterima.
Faliq Lajim

Shah Alam: “Saya mengambil masa tujuh tahun menyiapkan tesis kerana menjalani pembedahan tiga kali disebabkan tumor. Namun ia bukan alasan untuk saya tidak menamatkan pengajian,” kata Mohmad Najid Ramli, 64.

Mohmad Najid adalah graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan.

Beliau yang menerima penganugerahan itu dengan berkerusi roda menarik perhatian ramai serta ditambah faktor usianya namun masih mampu menamatkan pengajian.

“Jangan pernah putus asa dan hilang fokus. Itu kunci kejayaan saya sehingga mampu menamatkan pengajian di peringkat PhD.

“Saya membuat keputusan melanjutkan pengajian selepas bersara pada 2008 di sebuah pusat telekomunikasi gergasi negara,” katanya ditemui pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-87 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini kelmarin.

Penerima Anugerah Cemerlang Pingat Alumni UiTM, Akmyr Ahmad Azwan Abdul Kadir, 24, berkata, dia terharu dengan anugerah diterima.

Akmyr Ahmad yang menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) berkata, dia memperuntukkan masa tidur dua jam hampir setiap hari.

“Ketika pengajian saya sibuk dengan pembelajaran serta perniagaan apatah lagi saya ahli Majlis Perwakilan Pelajar di fakulti. Ia tidak pernah mematahkan semangat saya,” katanya yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.67.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:38 AM