GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Paya Linda Yahya


Gua Musang: UMNO Bahagian Gua Musang masih menunggu perkembangan selanjutnya berkait isu pengosongan kerusi Parlimen Gua Musang (P.32) yang kini disandang oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Gua Musang bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuklah menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya kerusi terbabit di kosongkan.

"Ketika ini kita hanya melihat dan menunggu perkembangan selanjutnya mengenai status kerusi Parlimen Gua Musang yang kini di sandang oleh Mohd Azizi.

"Kami UMNO bahagian Gua Musang menunggu apakah tindakan yang akan diambil kerana sebarang maklum balas berkenaan dengan perkara ini perlu kita santuni selepas kita dapat tahu keputusan yang diambil oleh pihak BERSATU.

"Saya menerima apa saja keputusan termasuklah kalau ianya melibatkan kepada PRK maka kita terima seadanya dan kita di UMNO dan BN sememangnya nak mengambil balik kerusi P.32 kerana itu adalah kerusi tradisi BN di Gua Musang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan enam kerusi Parlimen milik BERSATU perlu dikosongkan sekiranya wakil rakyat masing-masing kekal dengan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan BERSATU yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Khas parti itu semalam, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 11:58 AM