Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Ketua balai polis didakwa atas lima tuduhan termasuk meminta dan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan RM21,800 dua tahun lalu di Mahkamah Khas Rasuah, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Bagaimanapun tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi pertuduhan pertama, dia sebagai ejen kerajaan Malaysia iaitu anggota polis berpangkat Sub Inspektor di Balai Polis Tengkera didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan RM6,000 daripada pemilik restoran sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di restoran beralamat di Kota Shahbandar Melaka pada 4 Ogos 2020 kira-kira 10 malam.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Abdul Halim didakwa secara rasuah bersetuju menerima RM800 secara bayaran bulanan dan memperoleh bagi diri sendiri suapan RM6,000 daripada individu sama bagi dorongan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di bilik pejabatnya di Balai Polis Tengkera pada 11 Ogos 2020, antara jam 5 petang hingga 5.15 petang.

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini. FOTO Syafeeq Ahmad
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini. FOTO Syafeeq Ahmad

Pertuduhan pertama hingga ketiga adalah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, Abdul Halim didakwa meminta bagi diri sendiri suapan berjumlah RM8,000 dan secara bulanan sebanyak RM1,000 daripada individu sama dan bagi dorongan sama.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di restoran berkenaan pada 4 Ogos 2020, kira-kira jam 10 malam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan ikat jamin RM5,000 memandangkan tertuduh berdepan lima pertuduhan keseluruhan berjumlah RM21,800 dan tidak dibantah peguam Azrul Zulkifli Stork.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 20 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 12:14 PM