Armizan pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Besar Samat di Bukit Bendera, Kampung Dambai, di sini hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Armizan pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Besar Samat di Bukit Bendera, Kampung Dambai, di sini hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Yun Mikail


Papar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan satu kaedah pemantauan menerusi sistem dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan diesel di Sabah.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia juga seiring dasar kerajaan yang bakal melaksanakan penyasaran subsidi mulai tahun hadapan.

"Di Sabah kita memerlukan mekanisme kawalan khusus kerana Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 melalui mekanisme 'fleet card' yang diperkenalkan KPDN bagi memantau diesel bersubsidi hanya digunakan di Semenanjung.

"Tetapi berbeza di Sabah, pengguna masih boleh memperoleh subsidi diesel di semua stesen minyak kerana SKDS belum dilaksanakan.

"Jadi, kita perlu membuat satu mekanisme kawalan khusus untuk Sabah untuk mengurangkan ketirisan di stesen minyak seluruh negeri," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Hari Keluarga Besar Samat 2023, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kaedah mengekang aktiviti penyeludupan diesel di Sabah terutama di kawasan sempadan membabitkan daerah Tawau dan Semporna.

Armizan turut memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab yang sering melakukan aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi supaya menghentikan perbuatan itu kerana ia merugikan negara khususnya rakyat di negeri Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 4:58 PM