MOHAMED Bakri (kiri) dibantu rakannya membuat persiapan menunaikan haji ketika ditemui di Rumah Perlindungan Bukit Goh. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHAMED Bakri (kiri) dibantu rakannya membuat persiapan menunaikan haji ketika ditemui di Rumah Perlindungan Bukit Goh. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


“SAYA seolah bermimpi dan tidak percaya apabila menerima surat tawaran menunaikan haji dua bulan lalu, doa yang dipohon setiap hari sudah dimakbulkan Allah.

“Saya rasa berdebar untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu dan saya dijangka berlepas ke tanah suci pada 28 Julai ini,” kata bekas mak nyah, Mohamed Bakri Abu Bakar, 57.

Dia sebelum ini lebih terkenal dengan panggilan ‘Kak Jun’ berkata, dia mahu bersujud di hadapan Kaabah memohon keampunan di atas segala dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, dia pada mulanya hampir menolak tawaran menunaikan haji disebabkan masalah kewangan namun dipujuk beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk wakil rakyat.

Mereka juga melancarkan tabung derma yang kini berjaya mengumpul lebih RM17,000 untuk perbelanjaannya sepanjang di tanah suci.

“Saya bersyukur kerana semua persiapan sudah sempurna, sejujurnya saya masih tidak percaya yang saya bakal berangkat ke tanah suci tidak lama lagi.

“Walaupun diri saya penuh dosa namun Allah masih menyayangi saya dan memberikan rahmat kepada hamba-Nya ini malah memberi peluang untuk saya menunaikan haji,” katanya yang tinggal di rumah perlindungan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Bukit Goh, di sini.

Mohamed Bakri berkata, selepas bergelumang dengan dosa dan bergelar ‘penghuni’ lorong selama 20 tahun, dia akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke pangkal jalan pada usia 46 tahun.

Katanya, sepanjang bergelar mak nyah dia tidak pernah memikirkan dosa sebaliknya hanya memikirkan berapa ramai pelanggan yang perlu dilayan untuk mendapatkan wang.

Dia berkata, pengalamannya menunaikan umrah pada 2015 dan 2017 diharap dapat memudahkan segala urusan di tanah suci walaupun sedar menunaikan haji lebih mencabar yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Ketika berada di Makkah saya ingin berdoa supaya lebih ramai golongan mak nyah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,” katanya yang kini mengusahakan warung makanan sebagai sumber pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 11:08 AM