Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mimpi dibakar api yang marak menyebabkan seorang bekas mak nyah insaf dan kembali semula kepada fitrah lelaki.

Mohd Khairolizan Atan, 43, yang sebelum ini dikenali sebagai Julia berkata, mimpi ngeri berkenaan bukan sahaja membuatkannya tersentak dari terus bergelumang dalam dosa malah memberi sinar baharu arah hidupnya.

"Mimpi dibakar api marak adalah titik mula perubahan saya daripada dunia mak nyah.

"Dalam mimpi itu, saya menjerit ketakutan dan meminta tolong daripada keluarga dan rakan, namun tiada siapa yang dapat membantu dengan api semakin marak membakar diri ini.

"Namun apabila saya meminta pertolongan Allah dan menyebut kalimah nama tuhan berkali-kali, api yang marak itu tiba-tiba makin surut dan semakin hilang. Ia menyebabkan saya terjaga dari tidur dan mula memikirkan maksud mimpi saya itu.

"Akhirnya saya nekad menyahut hidayah Allah, sebelum membuang implan payudara yang dilakukan di Thailand dan kembali kepada fitrah lelaki," katanya.

Beliau berkongsi kisahnya ketika ditemui selepas Simposium Kaunseling Islam 'Pelangi Islam' di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, semalam.

Pada majlis itu, Mohd Khairolizan diberikan sijil penghargaan yang disampaikan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, atas usaha aktifnya membantu golongan mak nyah negeri ini kembali kepada fitrah dan menjadi jambatan antara golongan itu dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Menceritakan kisah awalnya bergelumang dunia mak nyah, Mohd Khairolizan berkata, dia sudah mula berjinak-jinak sejak di bangku sekolah sebelum mengubah penampilan lebih kewanitaan selepas Tingkatan Lima.

Katanya, kecenderungannya itu bukan sahaja dibantah keluarga, malah dia akhirnya dihalau keluarga berikutan enggan mengubah penampilan kepada lelaki.

"Ketika itu saya terlalu mengikut nafsu muda. Apatah lagi mempunyai ramai rakan mak nyah lain yang memberi dorongan supaya tampil lebih 'jelita'.

"Ia menyebabkan saya mula mengumpul wang sebanyak RM50,000 bagi melakukan pembedahan penukaran jantina dan wajah di Thailand.

"Namun saya hanya sempat melakukan pembedahan memasang implan payudara dengan kos hampir RM5,000 (40,000 Thai baht). Wang dikumpul RM50,000 itu dirompak dalam dua kejadian berasingan menyebabkan hasrat melakukan pembedahan lanjut tidak kesampaian," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Khairolizan yang juga anak kedua daripada 10 beradik bersyukur kerana niatnya melakukan pembedahan pertukaran jantina dan wajah seolah-olah dihalang Allah.

"Jika saya lakukan juga pembedahan itu, mungkin saya akan menyesal seumur hidup," katanya.

Dia kini menumpukan masanya terhadap Pertubuhan Kebajikan Kembara Hijrah Johor yang ditubuhkannya sejak dua tahun lalu.

Katanya, pertubuhan itu yang mempunyai hubungan baik dengan JAINJ mempunyai seramai 50 keahlian aktif bekas mak nyah yang insaf selain 400 ahli mak nyah di seluruh negeri ini.

"Kami mengadakan kelas mengaji serta kelas fardu ain dengan bimbingan JAINJ selain ceramah agama supaya ahli mempunyai ruang dan peluang belajar agama tanpa prejudis dan menerima pandangan serong masyarakat. Insya-Allah lambat laun, lebih ramai akan kembali kepada fitrah," katanya.

Beliau berkata, sejak kembali kepada fitrah, hubungan bersama keluarganya juga sudah pulih malah mereka sekeluarga sudah mengerjakan umrah bersama-sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 12:41 PM
MOHD Fared (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Khairolizan (dua kanan) pada majlis Penutup Simposium Kaunseling Islam ‘Pelangi Islam’ Peringkat Negeri Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
MOHD Fared (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Khairolizan (dua kanan) pada majlis Penutup Simposium Kaunseling Islam ‘Pelangi Islam’ Peringkat Negeri Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN