RAKAMAN video tular memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa individu di persimpangan Jalan Timur, Kampung Selayang Pandang, Batu Caves, Gombak, yang tular di media sosial, hari ini.
RAKAMAN video tular memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa individu di persimpangan Jalan Timur, Kampung Selayang Pandang, Batu Caves, Gombak, yang tular di media sosial, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Polis sedang mengesan beberapa individu yang terbabit dalam pergaduhan di persimpangan Jalan Timur, Kampung Selayang Pandang, Batu Caves, di sini, yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 54 saat memaparkan kejadian pergaduhan membabitkan tiga lelaki yang tular di Twitter jam 11 pagi tadi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berpunca daripada tidak puas hati salah seorang individu terbabit dengan seorang lelaki.

"Ia ekoran lelaki terbabit dikatakan menunggang motosikal sehingga hampir menyebabkan kemalangan yang mendorong kepada pertengkaran antara dua lelaki berkenaan.

"Kemudian datang seorang lagi lelaki yang melalui jalan itu masuk campur dalam pertengkaran berkenaan sebelum berlaku pergaduhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, sehingga kini, pihak yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan masih belum membuat laporan polis.

"Bagaimanapun, kami berjaya mengesan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan pihak lain yang terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor R Khalpana di talian 03-61262222 atau 012-5018901 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 10:55 PM