Najiy Jefri


SIAPA sangka, ketekunan pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal menguruskan perniagaan kosmetik berjaya mencipta pelbagai detik indah dalam kehidupan mereka.

Dalam tempoh tiga tahun menjalankan pelbagai rangkaian kosmetik, Aeril dan Wawa kini memiliki sebuah wisma bagi memudahkan segala operasi perniagaan dijalankan.

Lebih istimewa, pasangan merpati dua sejoli ini juga mengakui perniagaan yang diusahakan ketika ini adalah untuk membantu ribuan peniaga aktif yang menjual produk mereka.

"Merekalah keutamaan kami sekarang ini kerana kebanyakan penjual semula (reseller) produk kami boleh dikatakan 100 peratus bergantung dengan perniagaan ini.

"Saya dimaklumkan ramai dalam kalangan mereka yang berhenti kerja tetap demi nak menumpukan perhatian kepada perniagaan. Malah, suami mereka juga sanggup berhenti kerja sebab nak lakukan bersama-sama.

"Jadi, ia memberi satu bebanan kepada kami supaya tidak boleh duduk diam. Andai kata, kami 'tidur' sekejap, nanti mereka nak makan apa sebab rata-rata mereka sudah mempunyai komitmen tetap seperti baru beli rumah dan kereta baru.

"Jadi, kami perlu berkerja keras dan fikir apa yang terbaik untuk dilakukan supaya kami dapat bantu ramai orang yang kini bergantung harap dengan perniagaan kami," katanya yang ditemui pada majlis Wawa Royal Majestic Appreciation Gala Night yang diadakan di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

WAWA dan Aeril bersyukur pandemik tidak menjejaskan perniagaan yang diusahakan.
WAWA dan Aeril bersyukur pandemik tidak menjejaskan perniagaan yang diusahakan.

Sasar kutipan dua kali ganda

Walaupun pandemik Covid-19 sudah 'menyerang' negara hampir dua tahun, namun Aeril dan Wawa bersyukur apabila perniagaan mereka masih konsisten dan berada pada landasan yang baik.

Tidak berdepan kerugian yang teruk, malah produk yang diusahakan berjalan seperti yang dirancang bersama pasukannya.

"Sebenarnya tahun lalu kami sasarkan kutipan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya tapi disebabkan Covid-19, ia tidak tercapai.

"Tapi kami bersyukur apabila keuntungan tahun lalu masih positif dan sama dengan jumlah yang diraih pada 2020. Walaupun mencatat keuntungan tapi kami tidak nafikan banyak cabaran yang perlu kami hadap dalam waktu pandemik ini. Namun ia tidak sesekali mematahkan semangat kami," katanya.

PASANGAN selebriti ini perlu bekerja keras memastikan peniaga aktif mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.
PASANGAN selebriti ini perlu bekerja keras memastikan peniaga aktif mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Hasrat terus terbit filem

Selepas kejayaan filem Sabda Kekasih yang menyaksikan projek sulung Aeril dan Wawa di bawah syarikat produksi mereka, Respected Citizen Production Sdn Bhd, mereka kini bakal mengeluarkan filem kedua dan ketiga tidak lama lagi.

Aeril berkata, filem kedua genre psiko thriller berjudul Abnormal bakal ditayangkan di China terlebih dulu sebelum dijual kepada penyiar lain.

"Kami baru selesai penggambaran untuk filem kedua dan kini sedang dalam proses suntingan. Insya-Allah filem ini akan ditayangkan di China dulu.

"Kali ini kami nak cuba nasib bawa filem ke luar negara. Walaupun jumlah panggung wayang tidak sampai 50 buah, tapi kami sedang dalam perancangan untuk menambah jumlahnya nanti.

"Selain itu, kami juga bakal menerbitkan filem ketiga bergenre seram untuk tayangan Astro, tapi semuanya masih dalam perbincangan," katanya.

Ditanya kenapa mereka optimis untuk menerbitkan filem, Aeril berkata, ini adalah salah satu cara untuk memberi peluang pekerjaan kepada pekerja seni.

"Kami buat semua ini supaya mereka ada kerja. Selagi saya tidak rugi, saya okey. Tiada untung pun tidak mengapa sebab saya nak beri peluang pekerjaan kepada kru belakang tabir.

"Saya dan Wawa sudah ada untung sendiri menerusi perniagaan kami. Kami tahu sekarang ini ramai yang perlukan kerja dan ini adalah salah satu cara untuk kami hargai orang industri seni.

"Walaupun saya dah masuk dalam dunia perniagaan, tapi saya tak boleh lupakan bidang ini. Industri seni adalah akar yang membentuk siapa saya hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 6:00 AM