AZILA beramah mesra bersama murid di Madrasah Al-Ain, Sungai Buloh.
AZILA beramah mesra bersama murid di Madrasah Al-Ain, Sungai Buloh.
Na'imah Mohamed


Shah Alam: Usaha murni Madrasah Al-Ain, Sungai Buloh, dekat sini, dengan kerjasama Telekung Project (TP) untuk membantu sebuah sekolah di Kemboja membuahkan hasil apabila membuat kutipan berjumlah RM20,000.

Dana itu bertujuan membina dua perigi untuk kegunaan sekolah berkenaan dan membeli bekalan beras yang dianggarkan 3,300 kilogram.

Pengasas madrasah itu Rusnah Abu Samah berkata, kerjasama itu kesinambungan bantuan diatur TP sebelum ini yang mengumpul dana RM132,514 untuk pembinaan bangunan baru madrasah berkenaan.

“Saya bersyukur kerana Allah mempertemukan saya dengan TP dan memudahkan niat kami membantu anak Islam di negara berkenaan yang menuntut ilmu dalam keadaan daif,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Pada 13 Mei lalu, Rusnah bersama beberapa kakitangannya bertolak ke Kemboja dan turut disertai pengasas TP Azila Aziz.

Sementara itu, Azila berkata, kempen mengumpul dana bantuan ke Kemboja itu hanya mengambil masa kurang 24 jam berikutan keprihatinan penyumbang yang tidak mahu melepaskan peluang mengejar pahala.

“Saya membuka kempen kutipan dana yang dinamakan ‘Love 4 Ukhwah: Fundraise for Beras and Perigi’ pada pagi 21 April lalu dan jumlahnya mencukupi pada sebelah malamnya.

“Malah, ada pihak mewakafkan satu perigi untuk sekolah itu dan ia menjadikan perjalanan kempen sangat mudah,” katanya.

Menurutnya, selain beras dan perigi, 200 telekung dan 200 al-Quran disumbangkan kepada Darul Huda untuk kegunaan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:15 AM