HAMZAH menunjukkan laporan polis selepas wang tunai dan barang kemas berjumlah RM15,000 dilarikan dua lelaki dari restorannya. FOTO Rosli Ilham.
HAMZAH menunjukkan laporan polis selepas wang tunai dan barang kemas berjumlah RM15,000 dilarikan dua lelaki dari restorannya. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


BARU hari pertama berniaga, pemilik restoran kerugian RM15,000 apabila wang tunai dan barang kemas dilarikan dua lelaki menyamar sebagai pelanggan yang menempah makanan di premis perniagaannya di Taman Permint Indah, Dungun, Ahad lalu.

Mangsa, Hamzah Yusof, 67, berkata kejadian berlaku sewaktu dia ingin menutup premis perniagaannya pada 3 petang.

Katanya, sewaktu sedang mengemas restoran terbabit, dia didatangi dua lelaki tidak dikenali yang memaklumkan ingin menempah makanan untuk pekerjanya.

“Dua lelaki terbabit datang memesan dua gelas minuman dan selepas setengah jam seorang daripada mereka menghampiri isteri saya, Siti Mariam Lah, 63, untuk membuat tempahan.

“Dia (suspek) dakwa dapat kontrak kerja di Dungun dan ingin menempah 40 bungkus nasi serta minuman pekerjanya untuk makan tengah hari keesokan hari.

“Ketika itu rakannya yang memakai kopiah didapati beberapa kali ke belakang kedai dan dia mendakwa mahu ke bilik air,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, lelaki terbabit dipercayai mengambil peluang untuk masuk ke bahagian bilik di dalam premis terbabit sewaktu dia dan isteri sibuk berbincang mengenai tempahan dengan rakannya.

“Sewaktu kami sedang mengambil tempahan itu, lelaki berkopiah itu didapati tiada di dalam restoran dan saya menyangka dia masih di tandas.

“Selepas beberapa minit, dia secara tiba-tiba muncul di depan kedai sebelum mengajak rakannya beredar dan mereka yang menaiki kenderaan Toyota Wish itu menghala ke arah bandar Dungun,” katanya.

Hamzah berkata, dia hanya menyedari wang tunai dan barang kemas diletakkan di dalam bilik di premis berkenaan hilang selepas sejam suspek terbabit beredar.

Katanya, ketika dia masuk ke dalam bilik untuk mengambil beg duit, dia mendapati wang tunai bernilai RM2,500 hilang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati beg tangan milik isteri yang berisi barang kemas dianggarkan bernilai RM12,500 turut hilang.

“Susulan kejadian saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, pada hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, wang tunai RM2,500 itu adalah untuk membayar deposit kepada pemilik premis restoran berkenaan.

“Saya sangat sedih kerana baru hari pertama berniaga, wang tunai serta barang kemas isteri dilarikan dua lelaki berkenaan.

“Minggu lepas, saya ada dengar kejadian sama turut berlaku di dua kedai makan di Sura Hujung dan Kerteh yang turut didakwa dilakukan dua lelaki menggunakan taktik sama.

“Namun saya tidak menyangka kami pula yang menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenalpasti serta mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 11:22 PM