MOHAMAD (tengah) bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir ketika menyantuni dan menyampaikan sumbangan di Kampung Paroi. FOTO Mohd Amin Jalil.
MOHAMAD (tengah) bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir ketika menyantuni dan menyampaikan sumbangan di Kampung Paroi. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jentera Barisan Nasional (BN) khususnya Umno di kawasan Nibong Tebal, sudah bersedia dan akan bertemu seramai mungkin pengundi bagi membantu memastikan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, dapat memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau sudah menemui jentera BN dan Umno Sungai Bakap bagi menerangkan cara gerak kerja yang sepatutnya mereka lakukan sepanjang kempen menghadapi PRK berkenaan.

"Saya lihat jentera BN dan Umno di kawasan Nibong Tebal khususnya di Sungai Bakap itu sendiri nampaknya telah bersedia dan mereka bersemangat untuk menghadapi PRK ini.

"Saya meminta mereka (jentera) untuk bertemu seramai mungkin pengundi dan khususnya Umno jika kita boleh jumpa kesemua ahli Umno yang hampir 5,000 orang dan bawa keluar, sudah memadai daripada 13,000 pengundi Melayu di situ.

"Kalau boleh kita keluarkan, bagi memberi sokongan kepada Dr Joohari," katanya kepada media selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir kilat di Kampung Paroi, di sini, lewat petang hari ini.

Pada proses penamaan calon bagi PRK Sungai Bakap hari ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, manakala PN pula diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno dan Pengarah Pilihan Raya BN, berkata, PRK terbabit boleh dijadikan medan mengukur sejauh mana ahli parti itu sudah 'sejuk hati'.

"Ini juga penting kerana semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, tiada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dibuat kemudian, kawasan Sungai Bakap ini kita (Umno) kalah walaupun suatu ketika dulu kawasan ini kubu kuat BN.

"Banyak isu yang dimainkan yang tidak dapat ditangkis, jadi PRK ini perlu kita jadikan sebagai kayu pengukur, walaupun kita (Umno) tidak bertanding tapi anggap seolah-olah kita yang bertanding.

"(Jentera) Umno perlu tumpukan kepada ahli kita dulu, kira-kira 5,000 orang dan jika ini kita dapat lakukan, insya-Allah boleh menang," katanya.

Untuk rekod, seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 9:45 PM