Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan orang Melayu supaya tidak leka dalam usaha untuk berdikari dan memajukan diri.

Perdana Menteri berkata, walaupun keyakinannya bertambah bahawa kaum Melayu akan terus melangkah menjadi bangsa disegani di mata dunia namun usaha berterusan mesti dipertingkatkan supaya ilmu pengetahuan mereka bertambah selain mempunyai ekonomi yang kukuh.

“Melihat daripada semangat yang ditunjukkan hadirin terutamanya golongan belia yang bersama dengan saya di Perhimpunan Perpaduan Melayu di Bukit Jalil malam semalam (kelmarin), semakin saya yakin bangsa Melayu akan terus melangkah menjadi bangsa yang disegani di mata dunia.

“Kita perlu memperjuangkan kepentingan Islam dan syiarnya, mempertahankan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu, menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana, menjaga nilai-nilai murni dan menjaga institusi keluarga,” kata beliau melalui status laman Facebook peribadinya semalam.

Perdana Menteri turut yakin bahawa seandainya orang Melayu mengekalkan keutuhan perpaduan dalam kalangan mereka dan berusaha ke arah memajukan bangsa, tiada apa yang tidak mampu dikecapi bersama.

“Panduan ini wajarlah menjadi wadah dan maslahah yang akan kita terus perjuangkan dan gunakan untuk memajukan diri kita,” kata beliau.

Malam kelmarin Najib menyampaikan tujuh amanat untuk bangsa Melayu melangkah maju pada abad ke-21 dengan menjadi kuat, hebat dan bermaruah pada perhimpunan yang dihadiri 20,000 orang di Stadium Putra Bukit Jalil di sini.

Perhimpunan itu dianjurkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Biro Tatanegara (BTN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:01 AM