ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan dalam tindakan merangka dasar anti Ali Baba bagi menangani kesan negatif budaya itu terhadap ekonomi.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara akan mengkaji, merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti itu.

"Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam bersetuju secara prinsip bahawa budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius menangani dan membasmi aktiviti ini.

"Anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan membabitkan aspek perolehan, pelesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.

"Oleh demikian, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara dengan pembabitan kementerian dan agensi kerajaan, akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti Ali Baba dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, mesyuarat sama turut bersetuju mempercepatkan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

Peluncuran Fasa Pertama NETR akan diadakan pada 27 Julai ini, disusuli peluncuran Fasa Kedua pada Ogos depan.

"Projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu, kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran, serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek itu.

"Fasa pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion.

"Mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative)," katanya.

Selain itu Perdana Menteri berkata, melangkah ke hadapan, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baru untuk menangani pelbagai tantangan membabitkan perekonomian negara.

"Juga bagi memastikan penambahbaikan tata kelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.

"Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosio ekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 3:16 PM