LOKASI dua lelaki memanjat pagar dan menyamun penuntut UA di Pagoh hari ini. FOTO Alias Abd Rani
LOKASI dua lelaki memanjat pagar dan menyamun penuntut UA di Pagoh hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Polis masih memburu seorang lagi lelaki selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun penuntut wanita di kolej kediaman sebuah universiti awam (UA) di Pagoh, di sini, pagi hari ini.

Difahamkan, suspek dipercayai melakukan jenayah itu berdua namun seorang daripada mereka ditahan jam 9 pagi, selepas lima jam diburu polis.

Dalam kejadian jam 3 pagi, kedua-dua suspek menceroboh kolej kediaman penuntut wanita dengan memanjat pagar di belakang bangunan terbabit.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa seorang wanita membuat laporan disamun dua lelaki tidak dikenali ketika berada di kolej kediamannya.

"Bagaimanapun, mangsa tidak diapa-apakan oleh suspek. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Pasir.

"Susulan laporan itu, polis menahan salah seorang suspek, sekali gus membolehkan polis menemui semula barangan hasil samun sebelum dikembalikan kepada mangsa.

"Polis giat mengesan seorang lagi suspek masih bebas dan orang ramai mempunyai maklumat diminta berhubung dengan balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 5:46 PM