Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan petugas kesihatan negara dalam keadaan penat dan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu Covid-19 setiap hari.

"Our healthcare system is at breaking point. Saya ingin jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang, yang mana 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

"Di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU (unit rawatan rapi) untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus," katanya dalam Perutusan Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan menerusi stesen televisyen, hari ini.

Muhyiddin berkata, kadar penggunaan penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di lima negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula melebihi 70 peratus, malah terdapat lebih daripada 1,450 anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti wabak, terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

"Jumlah kematian akibat Covid-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus. Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi Mac hingga September 2020.

"Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil pesakit di rumah untuk dibawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC)," katanya.

Selain itu, bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri sekali gus menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal.

Disebabkan itu, katanya, dalam tempoh kritikal ini, amat penting bagi negara mengelak peningkatan jumlah pesakit secara mendadak kerana ia akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata.

GAMBAR fail. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR fail. FOTO Aizuddin Saad

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 7:16 PM