Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Bagi membantu rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan harga beras, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan program Jualan Rahmah Beras.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, program Jualan Rahmah Beras itu akan diadakan esok dengan harga diskaun.

"Tunggu esok, kita lancar Jualan Rahmah Beras. Rakyat akan dapat beras dengan harga diskaun subsidi oleh kerajaan di bawah KPDN," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, pihaknya juga akan mengumumkan mekanisme berkaitan program itu nanti.

"Sebenarnya berkenaan kawal selia padi dan beras kita semua tahu ia berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) daripada A sampai Z.

"Beras adalah barang kawalan KPDN tidak ada punca kuasa untuk mengawalnya, harga pun kita tidak ada punca kuasa. Akan tetapi hari-hari kita mendengar rintihan rakyat. Ada yang merayu. Saya juga mendengar rintihan rintihan Ahli Parlimen yang mewakili rakyat.

"Maka KPDN cuba mencari jalan bagaimana dalam ruang lingkup bidang kuasa KPDN boleh menyelesaikan isu kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan," katanya.

Fuziah Salleh. FOTO Arkib NSTP
Fuziah Salleh. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 4:28 PM