GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Shah Alam: Dua lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di kawasan tanah lot sekitar Semenyih, Hulu Langat, semalam, membabitkan keseluruhan rampasan bernilai RM163,550.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata suspek berusia 35 dan 45 tahun itu ditahan pasukan khas polis Bukit Aman sebelum kes diserahkan kepada pihaknya semalam untuk siasatan lanjut.

"Antara barangan rampasan ialah 47 tong jenis IBC (intermediate bulk containers) berkapasiti 1,000 liter, 31 tong berisi cecair disyaki minyak diesel dianggarkan keseluruhannya 31,000 liter, sebuah lori dan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda dipercayai digunakan bagi aktiviti itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuhairi berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran daripada pengawal bekalan bagi menyimpan serta berurus niaga barang kawalan iaitu diesel dan petrol.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak munasabah serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 susulan berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut ke atas kes serahan itu bagi mengenal pasti pihak yang turut terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 1:13 PM