ASRAMA penginapan pelajar lelaki Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Kampung Chengkau musnah dalam kebakaran dalam kejadian 1.58 pagi ini. FOTO Ihsan Bomba
ASRAMA penginapan pelajar lelaki Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Kampung Chengkau musnah dalam kebakaran dalam kejadian 1.58 pagi ini. FOTO Ihsan Bomba
Nur Aqidah Azizi dan Raja Noraina Raja Rahim


ASRAMA penginapan pelajar lelaki Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Kampung Chengkau, Rembau, musnah dalam kebakaran, 1.58 pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, tiga jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang serta Seremban 2 dengan kekuatan 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah blok asrama yang menempatkan 85 pelajar lelaki sekolah berkenaan.

“Ketika kejadian, penghuni sedang tidur dan kejadian disedari mereka sebaik terhidu bau asap dan bertindak keluar menyelamatkan diri. Warden asrama kemudian menghubungi bomba untuk bantuan.

“Bomba mengambil masa setengah jam untuk mengawal kebakaran dari merebak ke bangunan lain. Operasi pemadaman sepenuhnya berakhir 4.05 pagi. Asrama berkenaan musnah 90 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pada 28 September tahun lalu, sebuah asrama yang menempatkan 37 pelajar perempuan sekolah berkenaan turut musnah dalam kebakaran, 1.50 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 9:03 AM