MAHKAMAH Pasir Mas.
MAHKAMAH Pasir Mas.
Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Buruh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan dua anggota polis dan memiliki pisau Rambo, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Zulhilmi Husni Azmi, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohamad Arif Ismail dan Aminullah Islahuddin Selvan masing-masing berusia 28 tahun dengan menggunakan sebilah pisau Rambo yang mana boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah pisau Rambo tanpa maksud yang sah.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang boleh dipenjara minimum lima tahun hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan semak tepi jalan Kampung Siput Meranti, di sini, kira-kira 6 petang pada 13 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falena Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

Terdahulu, Hajarul Falena memohon tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana lelaki itu turut mempunyai kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan perubatan mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera selepas bergelut dengan suspek di Kampung Siput, Meranti, di sini.

Muhamad Arif mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan akibat ditikam selain luka pada pergelangan tangan serta pipi, manakala Aminullah pula cedera di lengan kiri, tangan dan tapak tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 2:37 PM