TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas lapan pertuduhan. FOTO Ghazali Kori
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas lapan pertuduhan. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


DALANG utama yang merancang serangan ke atas empat individu berprofil tinggi dan rumah ibadat di negara ini pada minggu pertama Ramadan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

Tertuduh, Mahadi Mamat, 34, dan bekerja sebagai buruh binaan dari Kuala Berang yang juga ketua kumpulan ‘wolf pack’ mengangguk faham ketika lapan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Dalam pertuduhan pertama mengikut Seksyen 130 J(1) (B) Kanun Keseksaan (KK) (Akta 574), tertuduh didakwa mencari sokongan terhadap perbuatan pengganas dengan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Persiaran Kewajipan USJ, Petaling, Selangor melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Teris, Hulu Terengganu antara jam 9.48 malam pada 7 Januari hingga 5.45 petang, 5 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan sama apabila didakwa mencari sokongan terhadap suatu pengganas dengan membuat ancaman untuk membunuh empat orang warganegara Malaysia melalui kumpulan WhatsApp sama di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh yang sudah berkahwin turut didakwa mengikut Seksyen 130F (A) KK (Akta 574) dan Seksyen 130F (B) KK (Akta 574) apabila bersetuju memberikan latihan penggunaan senjata api dan memberikan arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 130JD(1) KK (Akta 574) apabila mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas di Kampung Teris, Hulu Terengganu jam 6.03 petang 4 Mei lalu.

Tertuduh turut didakwa mendapatkan sepucuk pistol semi automatic CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis “Luger 9MM” untuk melaksanakan perbuatan pengganas di Kampung Teris, Hulu Terengganu jam 4.32 petang 5 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 130E KK (Akta 574) kerana merekrut beberapa orang lain untuk menyertai kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dan Seksyen 130JB(1)(A) KK (Akta 574) kerana memiliki item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam sebuah telefon bimbit jenama Alcatel di Kampung Teris, Hulu Terengganu, jam 5.45 petang pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 9 Julai sebagai tarikh sebutan kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, empat lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.

Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dipetik berkata, semua suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas IS/Daesh itu ditahan pasukan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam empat siri serbuan antara 5 hingga 7 Mei lalu di Terengganu dan Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 1:04 PM