GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bahau ditutup sehingga Isnin ini berikutan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Dr Roslan Hussin berkata, pada Khamis lalu seramai lapan murid dijangkiti penyakit itu sebelum tiga kelas di sekolah terbabit ditutup.

"Semalam, empat lagi murid dijangkiti dan 17 lagi kelas ditutup.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol kemudian mengarahkan sekolah berkenaan ditutup sehingga Isnin ini," katanya.

Roslan berkata, penutupan sekolah berkenaan bagi membolehkan kerja mencegah penyakit berjangkit itu dijalankan.

Katanya Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan akan memantau perkembangan HFMD di sekolah berkenaan dari masa ke semasa.

"Setakat ini hanya sekolah yang menempatkan 419 murid itu sahaja ditutup sementara di daerah ini berikutan penularan HFMD," katanya.

Jumaat lalu, satu notis penutupan sekolah dikeluarkan PKD Jempol bagi menjalankan kerja mencegah selaras dengan kuasa mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 3:04 PM