GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Lahad Datu: Cubaan seorang lelaki terjun ke sungai untuk menyelamatkan adik serta anak saudaranya berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas dalam kejadian di Sungai Dewata di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian pada 11 pagi itu, mangsa yang berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh ahli keluarganya.

Bagaimanapun, anak saudara dan adiknya berusia 16 dan 10 tahun itu berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga lain tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa bersama beberapa ahli keluarganya pergi ke lokasi untuk aktiviti berkelah.

Menurutnya, secara tiba-tiba, anak saudara dan adik mangsa yang sedang mandi di tepi sungai dihanyutkan arus deras.

"Mangsa bersama dua ahli keluarga lain yang menyedari kejadian itu terus bertindak terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka.

"Bagaimanapun, mangsa disedari tidak timbul ke permukaan air sebelum dua ahli keluarganya kembali ke sungai untuk mencarinya.

"Mangsa akhirnya ditemui tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dzulbaharin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Lahad Datu pada 12.49 tengah hari.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kematian mangsa tidak mempunyai sebarang unsur-unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat dan kematian mangsa berpunca akibat mati lemas," katanya.

Sehubungan itu, Dzulbaharin menasihati orang ramai supaya tidak mengadakan aktiviti riadah atau perkelahan terutamanya pada musim hujan.

Katanya, cuaca yang tidak menentu ketika ini dikhuatiri boleh menyebabkan paras air sungai naik secara mendadak dan boleh membahayakan keselamatan diri dan nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 4:26 PM