ANTARA kenderaan yang diperiksa penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan operasi besar-besaran di susur atau Selatan Plaza Tol Sungai Besi Kuala Lumpur. FOTO Azlan Hadi Abu Bakar.
ANTARA kenderaan yang diperiksa penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan operasi besar-besaran di susur atau Selatan Plaza Tol Sungai Besi Kuala Lumpur. FOTO Azlan Hadi Abu Bakar.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tidak gentar dan merasakan dirinya 'kebal' daripada disaman pihak berkuasa menjadi alasan kepada seorang lelaki untuk tidak memperbaharui cukai jalan kenderaan yang tamat tempoh sejak 2018.

Malah, lelaki berusia 47 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza itu juga tidak pernah mempunyai lesen memandu.

Lelaki terbabit juga memberi alasan jarang memandu menyebabkan dia tidak pernah mahu mendapatkan lesen berkenaan sehingga kini.

Susulan itu, anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan dua notis saman terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan dilakukan.

Semakan dilakukan lelaki itu pernah disaman beberapa kali sejak 2002 hingga tahun ini atas kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Lelaki berkenaan adalah antara individu yang diperiksa dalam Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, seramai 98 anggota terdiri daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) terbabit dalam operasi itu yang bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

"Dalam operasi itu, sebanyak 2,282 kenderaan pelbagai jenis termasuk bas, van, kereta dan motosikal diperiksa dengan 152 kenderaan diambil tindakan termasuk empat kenderaan disita.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 297 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh yang merekodkan antara kesalahan tertinggi selain kesalahan tiada lesen memandu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi hala selatan, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan Datuk Razali Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi) Aedy Fadly Ramli.

Zailani berkata, tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh antara kesalahan utama yang kerap dilakukan pengguna jalan raya bagi semua jenis kenderaan.

"Dalam kebanyakan kes yang kami terima, alasan pemandu kenderaan melakukan kesalahan itu adalah sama iaitu tidak sedar, atau tidak sempat untuk memperbaharui cukai jalan tamat tempoh.

"Kebanyakan kes juga mendapati ada di antara pengguna jalan raya yang cukai jalan tamat tempoh didapati tidak mempunyai insurans kenderaan.

"Ini sekali gus akan menyusahkan ramai pihak sekiranya berlaku kemalangan terhadap kenderaan itu dan disebabkan itu kita perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 1:09 AM