Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan kegiatan mencuri motosikal didalangi Geng Apek yang bergiat aktif di sekitar Sentul dalam Op Lejang Khas di sekitar Lembah Klang pada 13 dan 14 Meilalu.

Operasi dijalankan Bahagian Risikan/ Operasi/ Rekod (D4) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis (IPD) Sentul.

Polis turut menahan empat indvidu berusia 27 hingga 38 tahun termasuk seorang wanita .

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket yang bergiat sejak enam bulan lalu diketuai lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Apek mensasarkan motosikal jenama Yamaha khususnya di sekitar Sentul.

"Semua motosikal akan dileraikan di kediaman suspek sebelum komponen dijual manakala rangka dibuang ke semak.

"Suspek mempunyai 18 rekod lampau melibatkan kes curi dan kesalahan dadah," katanya pada sidang media di IPD Sentul hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, pihaknya turut merampas empat motosikal; lapan rangka motosikal; dua enjin; dua alas tempat duduk; lima telefon bimbit, dua spanar dan tiga batang besi disyaki diubah suai dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM50,000.

"Suspek direman bermula 14 Mei hingga 8 Jun sebelum diserahkan kepada IPD Brickfields untuk siasatan kes lain.

"Dalam penahanan ini, kita berjaya menyelesaikan 16 kes kecurian yang melibatkan 15 di Kuala Lumpur dan satu di Selangor," katanya.

Polis Kuala Lumpur mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan ibu negara.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 1:02 PM