ANGGOTA keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tiba di mahkamah dikawal ketat anggota polis di Mahkamah Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANGGOTA keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tiba di mahkamah dikawal ketat anggota polis di Mahkamah Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini, 17 Mei lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Tertuduh membabitkan bapa lelaki berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura.

Turut didakwa, tiga adik beradik lelaki yang ditembak mati 17 Mei lalu, iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas semua sembilan pertuduhan dibacakan kepada semua tertuduh di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Radin Imran berhadapan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait, kumpulan pengganas IS.

Fahaman itu didakwa telah disemai kepada semua anggota keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram; isterinya serta tiga anaknya yang lain.

Bagi pertuduhan kedua, Radin Imran dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas IS, dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dia dan anak sulungnya, Radin Romyullah turut berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi. Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Radin Imran turut didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkaitan kumpulan pengganas IS, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan pengganas, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi tertuduh ketiga hingga kelima, membabitkan Rosna, Farhah Sobrina dan Mariah pula, mereka didakwa sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkaitan kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574). Mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara antara tujuh tahun hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya, dengan semua harta yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, di sini, antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P Kunyalam dan Fazeedah Faik.

Bagaimanapun kesemua lima tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, ketibaan kelima-lima tertuduh di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada jam 9 pagi dikawal ketat lebih 30 anggota polis bersenjata.

Malah persekitaran kompleks mahkamah turut dipenuhi puluhan anggota polis bersenjata yang mengawal ketat semua pintu masuk sejak jam 7 pagi lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa memaklumkan mahkamah tiada jaminan ditawarkan terhadap semua kelima-lima tertuduh.

"Jaminan tidak ditawarkan ke atas semua tertuduh yang ditahan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) khususnya kepada individu yang didakwa dengan kesalahan keselamatan," katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap kesemua tertuduh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Julai depan bagi pengurusan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:32 AM