PELATIH kursus Komando TUDM siri 27/20 yang berjaya menamatkan latihan lasak selama 12 minggu.
PELATIH kursus Komando TUDM siri 27/20 yang berjaya menamatkan latihan lasak selama 12 minggu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


BUKAN mudah menjadi anggota komando elit Pasukan Khas Udara (PASKAU) berikutan mereka perlu menjalani latihan 'azab' siang dan malam selama tiga bulan.

Mereka perlu diuji ketahanan mental serta fizikal sebelum melayakkan diri bergelar anggota PASKAU dan dianugerahkan beret biru.

Difahamkan, anggota TUDM terpilih perlu mengharungi modul latihan ditetapkan Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) Bukit Ibam, Pahang, meliputi latihan peringkat kem, jalan lasak jarak jauh 160 kilometer (km), latihan hutan, survival, escape, resistance, Latihan Perairan dan dark water (mendayung bot tempur secara taktikal sejauh 120 km).

Ia bertujuan memastikan latihan ini selari dengan penugasan dan peranan PASKAU dalam melaksanakan operasi khas di daratan, lautan dan udara, peperangan hutan, serangan pantai, sabotaj, menyelamatkan tebusan serta latihan ikhtiar hidup.

Terbaru, seramai tiga pegawai dan 28 anggota Lain-lain pangkat (LLP) berjaya menamatkan Kursus Asas Komando TUDM Siri 27/20 dan menerima anugerah beret PASKAU disempurnakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Ackbal Abdul Samad di SLTT Bukit Ibam, Pahang, semalam.

Turut hadir menyaksikan upacara itu adalah Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Roshaimi Zakaria, Pegawai Memerintah SLTT, Leftenan Kolonel Jafridin Bahari dan pegawai-pegawai Kanan TUDM serta jurulatih.

Kursus komando PASKAU bermula 13 Januari lalu dan sepatutnya tamat pada 11 April, namun ia ditunda susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan akibat penularan pandemik Covid-19.

Kursus itu kemudian disambung pada 15 Mei lalu membabitkan penyertaan tujuh pegawai dan 58 anggota LLP.

Pada majlis Penutup Kursus Komando TUDM Siri 27/20 itu, Datuk Sri Ackbal menyerahkan beret biru yang menjadi lambang kemegahan PASKAU.

ACKBAL menyerahkan beret biru yang menjadi lambang kemegahan PASKAU kepada pelatih yang berjaya menjadi anggota PASKAU
ACKBAL menyerahkan beret biru yang menjadi lambang kemegahan PASKAU kepada pelatih yang berjaya menjadi anggota PASKAU

Penganugerahan Beret PASKAU dan Penutup Kursus Komando itu pertama kali dilaksanakan dalam pasca PKP dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu susulan Covid-19.

Panglima Tentera Udara dalam ucapan penutup kursus mengucapkan tahniah dan syabas kepada penuntut yang berjaya menjadi anggota PASKAU selepas mengharungi getir dan pelbagai cabaran untuk mencapai

kemuncak kejayaan kursus.

Beliau mengingatkan penuntut bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai anggota PASKAU dalam melaksanakan operasi-operasi khas yang mencabar dan berisiko tinggi.

"Anggota Komando TUDM sewajarnya melengkapkan penguasaan diri dalam kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dan pelbagai aspek teknikal, taktikal, operational dan strategik bagi menentukan setiap anggota PASKAU berstatus mission capable untuk melaksanakan setiap misi dan operasi.

"Selain daripada itu, sikap positif juga adalah amat penting terutama dalam memberi komitmen yang sepenuhnya bagi kepentingan organisasi TUDM dan PASKAU khasnya demi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta," katanya.

Pada majlis itu, penuntut, Leftenan Ahmad Musthofalkarami Sabri dinobatkan sebagai pelatih terbaik Kursus Komando TUDM Siri 27/2020.

Anak kelahiran Ajil, Terengganu itu adalah bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal sebelum bertugas di No. 5 Skuadron, Pangkalan Udara TUDM Labuan sebagai Pegawai Kejuruteraan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 12:20 PM