BEBERAPA buah lori sedang mengisi diesel sebelum harga bahan bakar itu dinaikkan semalam. FOTO Baharom Bakar
BEBERAPA buah lori sedang mengisi diesel sebelum harga bahan bakar itu dinaikkan semalam. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Lebih 30 pemandu lori panjang terpaksa beratur panjang untuk mengisi diesel sebelum harga bahan api itu dijual tanpa subsidi, semalam.

Suasana itu berlaku di stesen minyak yang terletak kira-kira dua kilometer ke Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) di Kampung Gemuroh, selepas setengah jam Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel tanpa subsidi dijual pada kadar RM3.35 seliter, petang semalam.

Petugas stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Azhar berkata, berlaku sedikit kesesakan terutama membabitkan lori panjang beratur untuk mengisi diesel selepas setengah jam kerajaan mengumumkan harga bahan bakar itu diapungkan.

Katanya, ada antara pemandu mengambil kesempatan mengisi diesel antara 250 dan 500 liter pada harga lama iaitu RM2.15 seliter.

"Semua kenderaan terutama lori panjang yang beratur dapat mengisi diesel menggunakan harga sebelum bahan itu diapungkan, kira-kira jam 12 tengah malam," katanya.

Azhar mengakui tidak menghadapi masalah terputus bekalan diesel kerana majikannya baru mendapat bekalan Sabtu lalu.

Kementerian Kewangan melalui kenyataan memaklumkan harga diesel diapungkan kepada RM3.35 seliter berkuat kuasa jam 12 tengah malam tadi.

Sebelum bahan bakar itu diapungkan, harga diesel biasa adalah RM2.15 seliter manakala RM2.35 seliter bagi diesel Euro5.

Berikutan keputusan kerajaan mengapungkan harga diesel, harga bahan bakar biasa adalah RM3.35 seliter, manakala diesel Euro5 adalah RM3.55 seliter.

Sementara itu, tinjauan bersama pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri mendapati tiada berlaku pengisian diesel secara panik.

Tinjauan turut mendapati kebanyakan kenderaan yang mengambil kesempatan untuk mengisi diesel adalah kenderaan perdagangan terutama lori panjang.

Pegawai penguat kuasa KPDN negeri turut memantau perubahan harga diesel pada meter pam minyak secara automatik pada jam 12.01 pagi.

Sementara itu, Pengarah KPDN, Saharuddin Mohd Kia ketika dihubungi mengesahkan keadaan di semua stesen minyak tenang dan tidak berlaku pengisian bahan bakar secara panik.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan terutama melalui Ops Kesan 2.0.

"Kita akan terus melaksanakan Ops Kesan 2.0 bagi menghadapi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel supaya tidak berlaku elemen pencatutan harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 1:14 PM