YAAKUB Abdul Wahab. FOTO Hairul Anuar Rahim
YAAKUB Abdul Wahab. FOTO Hairul Anuar Rahim
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Orang ramai masih bersikap berhati-hati susulan langkah Malaysia memutuskan rakyat kini berada di fasa hidup bersama virus Covid-19 dan peralihan ke arah kehidupan seperti biasa dengan penamatan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Pengurus kafeteria, Yaakub Abdul Wahab, 53, berkata, pada pandangan peribadinya jika tidak berhati-hati, negara berkemungkinan kembali kepada suasana pandemik Covid-19 seperti sebelum ini.

"Ngeri juga jika pandemik berulang, kesannya memang kita ketahui teruk bukan saja kepada kesihatan malah sektor ekonomi terjejas.

"Mungkin keputusan kerajaan disebabkan kita sudah ambil vaksin. Saya pun sudah ambil dos penggalak.

"Kesannya jika dijangkiti tidaklah seperti mula-mula dijangkiti Covid-19 dulu. Cuma kesan sampingan vaksin itu yang kita masih keliru," katanya dalam tinjauan hari ini.

Dia berkata, dia pernah dijangkiti Covid-19 sebanyak dua kali dengan kali pertama agak teruk.

"Apa pun kita menyokong usaha kerajaan untuk memudahkan urusan rakyat, namun pada masa sama rakyat perlulah tetap berhati-hati dengan jangkitan Covid-19. Ada gejala teruslah dapatkan rawatan," katanya.

Muhammad Yasmie Yusuf, 33, yang bekerja sendiri sendiri pula berkata, walaupun tidak pernah dijangkiti Covid-19 namun dia pernah alami kesusahan mencari rezeki semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita jaga-jagalah sesama kita. Jika ada simptom segera ke klinik. Seandainya berkeperluan menggunakan pelitup muka, pakailah. Kita tidak mahu lagi situasi seperti PKP terjadi lagi," katanya. Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan rakyat Malaysia akan hidup bersama virus Covid-19 dalam keadaan biasa seperti mana virus berjangkit lain.

Dzulkefly dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat pasca-Kabinet peringkat KKM baru-baru ini.

"Dalam mesyuarat pasca-Kabinet KKM, kita buat keputusan bahawa kita sekarang hidup bersama virus, kita ambil sikap memulakan fasa ini sama seperti virus lain seperti influenza dan chikugunya.

"Maknanya kita kini kembali kepada normal, kalau ada berlaku apa-apa, KKM sentiasa memantau. Dalam persiapan untuk masa hadapan kita sentiasa bersedia kembali bertindak, buat masa ini kita kembali kepada normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 2:28 PM