LINDUNGI diri kita dan semua dengan pengambilan vaksin.
LINDUNGI diri kita dan semua dengan pengambilan vaksin.
Mohd Zaini Othman

KEMUNCAK dalam plot filem Nujum Pak Belalang yang dilakonkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai watak utamanya adalah 'pertembungan' beradu kepintaran menjawab soalan teka-teki antara Pak Belalang sebagai Ahli Nujum Negara yang mewakili negeri Beringin Rendang dengan Datuk Ahli Nujum lakonan Udo Romar mewakili negeri Masai.

Pertaruhan untuk beradu akal dua ahli nujum ini bukan kecil kerana Sultan Masai lakonan Shariff Dol bersedia mempertaruhkan negaranya kepada Ahmad Nisfu yang membawakan watak Sultan Shahrul Nizam, jika kalah.

Dek kerana tuah dan nasib, Pak Belalang berjaya menjawab semua soalan teka-teki dengan betul dan meyakinkan.

Antara soalan teka-teki yang pastinya penonton setia filem ini ingat adalah perihal banyak, sedikit, jarang dan kadang-kadang yang terkait jawapannya dengan poligami.

Penulis ingin membawa naratif yang berbeza perihal banyak, sedikit, jarang dan kadang-kadang ini untuk dikaitkan dengan situasi semasa pandemik Covid-19 negara yang semakin membimbangkan.

Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia mencatatkan angka kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 1.3 juta kes dengan lebih 11,000 nyawa sudah terkorban.

Dengan laporan kes baharu yang dilaporkan secara harian sekitar 15,000 hingga 21,000 sejak kebelakangan ini, pastinya untuk kembali ke angka bawah seratus atau sifat yang pernah kita catat dahulu masih jauh perjalanannya.

Kata orang banyak ranjau dan liku-likunya, tetapi bukan mustahil untuk kita kembali ke angka itu.

Berbalik kepada naratif banyak, sedikit, jarang dan kadang-kadang yang ingin penulis sentuh dalam penulisan ini, ia bertitik tolak dengan kita mengimbau semula senario ketika di peringkat awal gelombang pertama Covid-19 melanda negara.

Pada waktu itu kita mungkin hanya berada pada keadaan 'jarang-jarang dan sedikit-sedikit' mendengar khabar berita jiran tetangga, rakan sekerja, sanak- saudara mahupun ahli keluarga yang dijangkiti virus ini.

Kadar kematian ketika itu juga masih kecil, tidak juga berlaku secara harian, justeru angka kematian kerana Covid-19 hanya menjadi topik yang 'kadang-kadang' sahaja kita bualkan dan ambil tahu.

Selepas negara dibadai gelombang ketiga penularan Covid-19 ditambah pula apabila varian Delta 'terlepas masuk' dalam negara, kegerunan masyarakat pada virus lebih nyata apabila keadaan dahulu yang jarang-jarang, sedikit-sedikit dan kadang-kadang sudah menjadi banyak-banyak.

Kes jangkitan dan kematian yang dilaporkan sudah mula berada dalam lokaliti di mana kita tinggal. Kita juga mula mendapat banyak khabar berita insan yang kita kenali seperti rakan sepengajian, staf di tempat kerja, sanak-saudara, penduduk kejiranan, malah ahli keluarga terdekat dijangkiti virus Covid-19 dari hari ke hari.

Lebih menyedihkan apabila dalam kalangan mereka ini juga sudah meninggal dunia tanpa kita beroleh peluang datang menziarahi ketika sakit mahupun punyai kesempatan menatap wajah mereka di saat nyawa terakhir.

"Jangkitan melalui varian Delta sukar dikawal dan sungguh berbahaya kerana ia dapat merebak dengan cepat dalam masa hanya 15 saat melalui udara," kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau turut akui kerana jangkitan itu berlaku melalui udara ia sudah meningkatkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang menyebabkan peningkatan kes harian sejak 26 Jun lalu.

"Kalau kadar kebolehjangkitan virus biasa antara 2.5 hingga 3 tetapi varian Delta dan varian yang kita kenal pasti adalah tinggi iaitu lima hingga lapan kerana sifat virus berubah. Maksudnya, jika seratus orang dijangkiti dalam tempoh terdekat akan jangkiti 500 hingga 800 orang," katanya.

Apabila semakin banyak kes jangkitan dan kematian berpunca dari Covid-19 yang berlaku dalam kalangan insan yang kita kenal, ia secara langsung mula menjadikan masyarakat semakin berhati-hati dan lebih patuh pada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Ketika kita masih bergelut peningkatan kes kerana varian Delta, pakar kesihatan antarabangsa mendedahkan penemuan varian baharu yang lebih berbahaya darinya iaitu varian Lambda yang pertama kali di kesan di Peru dan mengakibatkan jangkitan lebih 80 peratus kes di negara itu.

Penulis senada dengan Dr Noor Hisham bahawa pelaksanaan kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 1 Jun lalu memberi ruang dan masa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurus pertambahan katil, peralatan dan ubat-ubatan di hospital seluruh negara.

Pak Belakang menang kerana nasib dan tuah, tetapi kita tidak akan menang dengan cara sebegitu dalam beradu kekuatan dengan Covid-19 kini. Tewasnya Masai kepada Beringin Rendang, hanya kedaulatan negeri menjadi galang gantinya, tetapi jika tewasnya kita kepada Covid-19, negara akan runtuh manakala rakyat pula kehilangan nyawa.

Lindungi diri kita dan semua dengan pengambilan vaksin. Takziah penulis buat rakyat Malaysia yang kehilangan ahli keluarga tercinta akibat Covid-19. Al-Fatihah.

Penulis Timbalan Pengarah di Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 5:59 AM