Zayn Rayyan Abdul Matiin
Zayn Rayyan Abdul Matiin
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis akan memohon sambungan reman ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin esok bagi membantu siasatan pembunuhan mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan membuat permohonan untuk menyambung reman esok selepas tempoh reman tamat esok.

Ditanya sama ada sudah ada pengakuan atau belum, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

"Esok kita akan pohon untuk menyambung reman," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan peguam ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin memaklumkan beliau tidak dibenarkan bertemu mereka yang kini dalam tahanan reman.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya itu, Fahmi Abd Moin dilaporkan berkata, beliau sudah memohon jasa baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertemu namun tidak dibenarkan.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 9 malam 6 Disember lalu.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 9:26 AM