TERTUDUH (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku tidak bersalah. FOT O Alias Abd Rani
TERTUDUH (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku tidak bersalah. FOT O Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Ibu tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan membuang bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah rumah di Semerah, dekat sini, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Nor Fazlinda Sakimun, 26, yang bekerja pembantu kedai makan membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meninggalkan bayi perempuan seberat 3.1 kilogram (kg) atas lantai rumah jirannya dalam keadaan bogel, di Parit Lubok Darat, Semerah, di sini, antara jam 12.30 tengah malam hingga 7 pagi, 23 September 2017.

Ketika kejadian, tertuduh berusia 19 tahun dan dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Sharif.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM6,000 susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh namun peguamnya merayu supaya jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya dari keluarga susah.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 3 Julai ini untuk sebutan semula dan juga serahan dokumen.

Bagaimanapun, tertuduh yang ditemani suami serta dua anaknya gagal membayar wang jaminan terbabit sebelum dibawa ke lokap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 1:46 PM