Tertuduh hadir bersama ibunya ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk mendengar pertuduhan merogol kenalan. FOTO Alias Abd Rani
Tertuduh hadir bersama ibunya ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk mendengar pertuduhan merogol kenalan. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Pelajar Tingkatan Dua mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tuduhan merogol kenalan sekolahnya, dua bulan lalu.

Tertuduh berusia 14 tahun itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap mangsa berusia 13 tahun di tepi Jalan Benteng dalam daerah ini, pada jam 8 malam, pertengahan Mac lalu.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat bapa mangsa, kejadian itu disedari selepas lelaki terbabit terbaca mesej perbualan mereka berdua di telefon bimbit.

Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Parit Raja pada 3 April lalu dan remaja itu ditahan pada 10 Mei untuk membantu siasatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Baharudin Baharim.

Susulan pengakuan bersalah itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baru bagi membolehkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan laporan akhlak serta hukuman bakal dikenakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:13 PM