DR Abdulfattah mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan TH bagi musim haji tahun ini di pejabatnya di Makkah, semalam. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein.
DR Abdulfattah mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan TH bagi musim haji tahun ini di pejabatnya di Makkah, semalam. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein.
Tuan Asri Tuan Hussein


KEMPEN Kebersihan Perdana Masyair yang pertama kali dianjurkan Tabung Haji (TH) tahun ini memberi impak positif dan mendapat perhatian Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Naib Menterinya Dr Abdulfattah Suliman Mashat berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada jemaah haji dari negara lain untuk turut melakukan inisiatif sama tahun depan.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada TH di atas inisiatif (dan kerjasama jemaah haji Malaysia) membersihkan khemah di Arafah dan Mina sebelum meninggalkannya.

“Kami dalam perbincangan dengan TH untuk melihat bagaimana pihak kementerian saya dapat menyediakan ‘konsep hijau’, insyaAllah pada tahun depan untuk dinikmati semua jemaah haji, bukan hanya jemaah Malaysia.

“Saya sudah meminta wakil TH memberikan kepada kami khemah jemaah Malaysia di Arafah dan Mina yang ditinggalkan dalam keadaan bersih supaya dapat dijadikan contoh kepada jemaah haji negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan pengurusan kanan TH bagi operasi musim haji 1439H di pejabatnya di Makkah, semalam.

Pengurusan kanan TH diketuai Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Hadir sama, dua Timbalannya, masing-masing dari sektor Kebajikan dan Perubatan, Nurrinanuwar Shamsuddin dan Dr Shaffari Marzuki.

Dr Abdulfattah turut memuji TH di atas kejayaan menguruskan operasi haji jemaah Malaysia dengan amat berkesan sambil menegaskan pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama diperlukan demi kebaikan semua pihak.

Kempen Kebersihan Perdana Masyair dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di lobi Maktab 72 Hotel Land Premium, Makkah pada 17 Ogos lalu.

Di Arafah dan Muzdalifah, aktiviti program dilakukan secara kendiri oleh jemaah dengan dipantau pengurus maktab masing-masing sebelum aktiviti lebih tersusun dibuat sepanjang tiga hari jemaah berada di Mina, bermula dari 11 hingga 13 Zulhijjah atau 22 hingga 24 Ogos lalu.

Sepanjang tiga hari itu, dalam tempoh satu jam iaitu dari 8 hingga 9 pagi semua jemaah Malaysia dibekalkan plastik untuk bergotong royong mengutip sampah di kawasan khemah tempat tinggal mereka.

Sementara itu, Dr Abdulfattah turut memberitahu pemerintah Arab Saudi Raja Salman Raja Abdulaziz bersyukur dan gembira kerana proses ibadat haji tahun ini berjalan lancar tanpa berlaku insiden tidak diingini.

Mengikut statistik dikeluarkan Pusat Komunikasi Antarabangsa Arab Saudi, jumlah keseluruhan jemaah haji bagi tahun ini ialah 2.37 juta, iaitu 1.34 juta jemaah lelaki dan 1.03 juta jemaah wanita.

Daripada jumlah itu, kumpulan jemaah paling ramai adalah dari negara Asia membabitkan 1.05 juta, diikuti Arab (395,000), Afrika (166,000) dan Eropah (89,000).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 3:22 PM