P Ramasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu, awal bulan ini. FOTO BERNAMA
P Ramasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu, awal bulan ini. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


Hulu Selangor: Seorang pesara yang mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) didakwa semula di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, P Ramasamy, 66, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong di sebuah kenderaan dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon Pakatan Harapan (PH).

Kesalahan dilakukan di kawasan Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, di sini, jam 5.40 petang, 4 Mei lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnnya adalah pesara yang tiada pendapatan tetap.

"Segala perbelanjaan ditampung oleh anak-anak tertuduh. Mohon satu jumlah jaminan paling rendah diberikan," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan Ramasamy diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 19 Jun ini ditetapkan sebutan semula kes.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan, hari ini, bagi tertuduh didakwa semula atas kesalahan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan Ramasamy tidak dikemukakan di mahkamah.

Pada 6 Mei lalu, Ramasamy dihukum penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret KKB selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kes Ramasamy dikembalikan semula untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret KKB.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Dr Wendy Ooi Su Ghee membenarkan semakan kehakiman Ramasamy selaku pemohon terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya.

Dalam penghakimannya ketika membenarkan semakan kehakiman itu, Wendy berkata, pengakuan salah Ramasamy ditolak kerana disifatkan pengakuan bersyarat.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 2:41 PM