JEMAAH haji melontar jamrah dan bermalam di Mina.
JEMAAH haji melontar jamrah dan bermalam di Mina.
Mohd Azman Rizal Rifin

MUSIM haji tiba lagi. Kini berduyun-duyun umat Islam menuju Tanah Suci bagi menyahut seruan Ilahi. Alhamdulillah kepada mereka yang ditakdirkan Allah SWT dapat mengerjakan haji dan kepada yang belum tercapai hajat dan impian menunaikan ibadah itu, seharusnya terus sabar dan berdoa supaya Allah SWT memakbulkan segala hajat murni yang sekian lama tertanam dalam jiwa.

Sesungguhnya, ibadah haji bukan sekadar suatu ibadah berbentuk ritual agama semata-mata, di sebaliknya terangkum begitu banyak hikmah dan pendidikan yang perlu dihayati dengan bersungguh-sungguh. Setiap rukun dan amalan dalam ibadah haji mempunyai falsafah dan intipati pendidikan kemanusiaan yang cukup tinggi jika direnungi dengan teliti.

Misalnya, ihram melambangkan kesucian. Salah satu rukun haji yang mesti dipatuhi setiap jemaah ialah berihram yang meliputi memakai pakaian ihram di Miqat sebagaimana yang ditetapkan, kemudian berniat ihram haji. Sepanjang tempoh berihram, jemaah haji wajib melaksanakan pelbagai peraturan dalam ihram seperti memakai ihram yang serba putih bersih. Selain itu, jemaah juga ditegah mengeluarkan tutur kata yang keji atau kasar, tidak boleh menyakiti binatang, apatah lagi terhadap manusia.

Ini sebagaimana ditegaskan Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud, "(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadah haji. Apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah SWT dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

Dengan erti kata lain, seseorang itu mesti meluruskan dan mensucikan hati sebersih-bersihnya dari noda dan dosa. Hal itu sejajar dengan sebutan kalimah talbiah yang diulang-ulang ungkapannya. "Aku datang memenuhi panggilan-Mu, ya Allah! Aku datang memenuhi panggilan-Mu. Tidak ada sekutu (yang lain di hatiku). Kedatanganku hanya demi panggilan-Mu." Ini kalimah talbiah jemaah dan seharusnya bukan sekadar keluar di bibir sahaja, tetapi mesti menghayati makna kalimah itu sedalam-dalamnya.

Ihram juga adalah perlambangan kesaksamaan dan persamaan dalam Islam. Semua sama ada yang kaya ataupun miskin, pemimpin mahupun rakyat jelata, kulit berwarna putih ataupun kelabu semuanya memakai pakaian ihram yang sama iaitu putih bersih. Indah dan mempesonakan sekali kebersamaan dalam Islam. Tiada status sosial dan perbezaan darjat ketika mengerjakan haji dan ini tergambar melalui pemakaian ihram.

Perkara kedua dalam ibadah haji yang membawa simbol kemanusiaan ialah tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan. Apabila seseorang melakukan tawaf pada saat suasana begitu padat dengan jemaah, tentu sekali memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Seandainya emosi tidak dapat dikawal maka akan mudah berlaku pertelingkahan dan perbalahan sesama jemaah di hadapan Kaabah itu. Di sini Allah SWT mendidik manusia yang sedang bertawaf akan bertolak ansur dan bijak mengurus emosi, jika seseorang itu sudah ikhlas kerana Allah, segala masalah ketika bertawaf dapat dikendali dan dilalui dengan sabar. Jiwa dan hati jemaah akan teruji semasa mengerjakan tawaf berkenaan.

Aspek ketiga yang perlu diteliti makna tersirat di sebaliknya ialah wukuf di Arafah. Sepanjang masa berwukuf di Arafah iaitu sekitar selama enam jam itu boleh ditafsirkan sebagai kerja hati memuhasabah diri dengan membawa hati lebih dekat kepada Allah SWT. Proses mengenali diri seharusnya wujud dan dapat dicerna semasa berwukuf itu. Manakala, dalam kerja bersaie iaitu berlari-lari anak antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali yang jaraknya sekitar 800 meter itu melambangkan dorongan motivasi diri dalam menyusuri kehidupan. Untuk hidup dengan sempurna, bahagia, berjaya dan dirahmati Allah SWT memerlukan pengorbanan, kecekalan, usaha berterusan, tidak berputus asa dan sentiasa yakin akan pertolongan Allah.

Ini elemen pengajaran yang tersingkap dalam bersaie itu. Jika ditinjau dari sejarah linguistik, kata Sa'aa bermakna usaha atau bekerja. Kata Sa'aa itu kemudian menjadi as-Sa'yu yang dalam bahasa percakapan harian menjadi saei.

Oleh itu, sesuai dengan makna kata saei itu mendidik umat Islam supaya tekun dan gigih berusaha dan bekerja. Ini yang sepatutnya ada pada setiap individu Muslim supaya muncul sebagai umat cemerlang. Berusaha gigih dalam segenap lapangan kehidupan. Cemerlang sahsiah, gemilang ilmu pengetahuan dan terbilang sumber perekonomian.

Tahallul iaitu perbuatan menggunting atau mencukur rambut selepas melaksanakan haji adalah antara rukun haji. Hal itu dilakukan sebagai penutup dari larangan ihram. Tahallul sebenar mengandungi intipati pengajaran mengenai saksi kejujuran. Selama berihram seseorang itu patuh dan taat kepada Allah dengan hati yang benar-benar ikhlas. Jadi, hal itu sebenarnya mendidik manusia Muslim supaya sentiasa jujur dalam kehidupan dan mematuhi segala perintah Allah.

Satu lagi yang perlu kita tinjau makna tersirat di sebalik pekerjaan jemaah haji ialah bermalam di Mina. Di sini jemaah melontar jamrah dan melaksanakan bermalam. Aktiviti ibadah ini menggambarkan kesungguhan individu Muslim untuk membawa misi dan visi menuju kebahagiaan. Kesungguhan berusaha mencapai kehidupan bahagia yang dirahmati Allah, Mina mengajar manusia supaya bersungguh-sungguh melalui perjalanan hidup yang bahagia. Ini bersesuaian dengan doa yang selalu kita semua baca selama ini. "Ya Allah, jadikanlah hidup kami di dunia penuh dengan kebahagiaan dan di akhirat pun demikian pula, hindarilah kami dari merbahaya (neraka)." Ini ungkapan doa yang sering kita baca dalam ikhtiar untuk memperoleh kebahagian di dunia dan akhirat.

Semoga jemaah yang pulang ke tanah air, ke kampung halaman selepas selesai segala urusan ibadah di bumi kecintaan Rasulullah SAW bakal membawa pulang yang bukan setakat gelaran Tuan Haji dan Puan Hajjah sahaja, sebaliknya bawa bersama setiap didikan kemanusiaan yang diterapkan mengerjakan ibadah itu.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 6:59 AM