DUA adiwira bertembung dalam sketsa.
DUA adiwira bertembung dalam sketsa.
ANTARA persembahan menarik watak adiwira popular.
ANTARA persembahan menarik watak adiwira popular.
BABAK pertarungan meraih perhatian adiwira.
BABAK pertarungan meraih perhatian adiwira.
KELEBIHAN apabila karakter ‘Spider-Man’ menggayakan gerakan popular.
KELEBIHAN apabila karakter ‘Spider-Man’ menggayakan gerakan popular.
Nurul Husna Mahmud


Demi minat, lebih 20 peserta peraduan The Heroes Unite Cosplay di SetiaWalk Mall di Puchong, Selangor baru-baru ini mengetepikan perasaan malu dan tidak selesa mengenakan kostum lateks di depan penonton.

Memperlihatkan kemahiran serta perasaan ‘cinta’ mendalam terhadap karakter dilakonkan, membuatkan ruang pertandingan iaitu event concourse pusat beli-belah dipenuhi peminat karakter adiwira daripada kanak-kanak hinggalah kepada golongan dewasa.

Malah ada antara pengunjung tidak berganjak memerhatikan persembahan peserta serta merakam gambar mahupun video untuk simpanan peribadi.

Julung kali peraduan Cosplay

Ketua Pengurusan Penyewaan SP Setia, Ng Wei Ling puas hati sambutan menggalakkan diterima daripada penggaya Cosplay tempatan.meskipun pertandingan ini julung kali dianjurkan pihaknya.

“Kami menerima penyertaan sangat menggalakkan daripada peminat acara Cosplay. Sebanyak 16 kumpulan baik peserta individu mahupun kumpulan mendaftar.

“Tujuan kami memberikan kepelbagaian pengalaman kepada pengunjung SetiaWalk dan pada masa sama ia usaha jalinan mesra dengan orang awam sekitar kompleks beli-belah ini,” katanya.

Acara lain dirancang di lokasi berkenaan ialah Mid-Autumn Festival bulan depan serta K-Pop Dance Cover Competition pada Disember depan.

Peminat berhijab tidak ketinggalan

Peserta daripada Kuala Lumpur, Nur Zainina Ruzana Zulkifli, membawa karakter utama dalam animasi ‘How To Train Your Dragon’ bernama ‘Hiccup’.

Dia antara peserta berhijab yang mengenakan kostum buatan sendiri, sangat teruja berada di pentas sambil menggayakan ‘prop’ seolah perisai boleh diubah menjadi senjata.

“Selaku pemakai berhijab kami harus bijak memilih karakter dan mengenakan kostum bersesuaian dengan penampilan kami.

“Mungkin tanggapan orang ramai kami terlalu yakin serta berani kerana jarang perempuan bertudung terbabit dalam Cosplay. Namun, pada kami, ia hobi menarik dan kami melakukannya untuk kepuasan diri.

“Saya mempunyai ikon tertentu memberi inspirasi dalam pembabitan Cosplay ini antaranya rakan komuniti Cosplay Hijabis daripada Indonesia seperti AkiraxKijiya dan Fatto Fatt. Selain mereka saya juga meminati Liui Aquino dariFilipina.

“Saya minat dengan cara dandanan kerana selain realistik, ada juga kostum digayakan mengikut karakter dipilih mereka,” katanya.

Tidak hairanlah kehadirannya dalam peraduan Cosplay ini untuk ‘menggali’ pengalaman dalam pertandingan bersama peminat aktiviti Cosplay itu.

“Dalam pertandingan saya masih baru dan memerlukan lebih banyak pendedahan. Saya membuat sendiri kostum dan prop.

“Kostum saya pakai kali ini dihasilkan sejak tahun lalu, cuma melakukan beberapa penambahbaikan termasuk membuat prop dalam memastikan jalan cerita lebih jelas dihayati pengunjung.

“Biasanya saya mengambil masa dua bulan untuk mengkaji karakter dan memahami perincian pakaian mereka kenakan.

“Kemudian barulah peringkat membuat struktur kostum dan mencabar ialah ketika membuat perincian agar apabila kita gayakannya, orang akan tahu karakter yang kita lakonkan,”katanya.

Mesti kreatif buat kostum jimat kos

Bagi Amirul Hadi Amir Rashid, 21, bukan kostum mahal atau murah menjadi ukuran minat penggaya Cosplay. Sebaliknya peserta dari Subang, Selangor ini berkata, paling diperhati ialah kreativiti mereka menghasilkan kostum mirip karakter kegemaran.

“Hari ini saya menggayakan karakter utama filem Antman dan saya hasilkan sut berkenaan sebelum filemnya ditayangkan.

“Jadi untuk pertandingan Cosplay ini kiranya saya buat kemasan untuk perincian agar ia nampak sempurna. Uniknya dalam kostum saya hasilkan ialah perincian pada topi keledar.

“Saya perlu teliti watak dan perlu tahu perincian penting. Terutama topi khas dalam watak berkenaan saya sedaya upaya lakukan pada model kostum.

“Biarpun saya buat mengguna barangan terpakai dan material murah, kemasan dilakukan pada sut serta topi keledar terperinci membuatkan ia kelihatan seperti kostum dijual di butik.

“Ada yang berkenan dan tawarkan harga untuk membeli tetapi bagi saya, ia hasil kerja paling membanggakan untuk saya simpan. Malah ramai sudah kenal saya menerusi kostum ini ketika muncul dalam pertandingan Cosplay,” kataya.

Pengalaman penyertaan Cosplay, kata Amirul, dia tidak hanya menyertai peraduan dalam negara semata-mata malah mendapat jemputan luar.

“Saya pernah menyertai pertandingan di Jakarta dan tentu saja peserta lebih ramai memberi inspirasi kepada saya menghasilkan hasil kerja jauh lebih bermutu.

“Jadi, pembuat Cosplay perlu tahu perincian dan memahami karakter agar kostum dihasilkan dikenali peminatnya,” kata Amirul Hadi yang berjaya menduduki tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:04 AM