Foto hiasan
Foto hiasan
Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) memulakan operasi maksimum bagi memenuhi sistem utama bekalan air.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata, ia susulan kerja baik pulih paip air terawat yang pecah di LRA SSP1 itu siap sepenuhnya pada 8 pagi hari ini.

Sehubungan itu, katanya, bekalan air akan disalurkan secara berperingkat ke 686 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam, dan Hulu Selangor yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual mulai 2 petang.

"Air Selangor meningkatkan penyaluran air terawat daripada beberapa LRA lain termasuk LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Wangsa Maju, LRA Sungai Batu dan LRA Bukit Nenas bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air kepada pengguna terjejas.

Air Selangor juga menggerakkan sebanyak 84 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, LRA SSP1 itu terpaksa dihenti tugas separa bagi kerja pembaikan susulan paip air yang menyalurkan bekalan air terawat mengalami kebocoran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 9:43 AM