Siti Nabilah (kiri) dan Nor Aishah mengulang kaji pelajaran di Rumah Anak Yatim dan Miskin at-Taqwa.
Siti Nabilah (kiri) dan Nor Aishah mengulang kaji pelajaran di Rumah Anak Yatim dan Miskin at-Taqwa.
Penghuni Rumah Anak Yatim dan Miskin at-Taqwa sering membantu dalam aktiviti harian mereka.
Penghuni Rumah Anak Yatim dan Miskin at-Taqwa sering membantu dalam aktiviti harian mereka.
Mohd Nasif Badruddin dan Muhamad Izzat Nasuruden


Pengkalan Hulu: “Kehidupan saya berubah 360 darjah di Rumah Anak Yatim dan Miskin at-Taqwa. Banyak perkara yang dapat dipelajari di sini,” kata Siti Nabilah Che Shahrin, 17.

Siti Nabilah antara 28 penghuni perempuan berusia 10 hingga 17 tahun yang menetap di asrama berkenaan dengan majoritinya berasal dari kawasan sekitar yang berstatus yatim piatu serta miskin.

Dia yang tinggal di rumah anak yatim itu sejak tujuh tahun lalu berkata, kesengsaraan hidup dialaminya menjadi pembakar semangat dia belajar bersungguh-sungguh mengubah nasib ke arah lebih baik.

Katanya, dia yang berasal dari Kampung Sungai Buluh, di sini, menyatakan hasrat tinggal di asrama berikutan keadaan keluarga yang miskin.

“Ketika itu ayah menghidap barah paru-paru dan keadaan keluarga sangat susah. Jadi saya beritahu ibu mahu tinggal di asrama dan dia bersetuju,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, permulaan hidup di asrama sangat berbeza dengan kehidupan di rumah apabila dia dapat belajar berdikari dan mengenal erti hidup apabila masuk ke asrama itu.

“Di sini saya perlu menguruskan diri sendiri dan belajar berinteraksi dengan rakan baru.

“Perkara paling penting apabila saya lebih menghargai hubungan silaturahim antara rakan dan adik beradik saya,” katanya yang berazam mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini sebelum meneruskan cita-cita menjadi guru.

Siti Nabilah berkata, ayahnya meninggal dunia pada 2015 dan kini dia hanya mempunyai ibu serta empat beradik.

Rakannya, Nor Aishah Nurudin, 17, berkata, dia masuk ke asrama berkenaan pada 2012 berikutan kemiskinan keluarga.

Katanya, ayahnya meninggal dunia pada 2009 sebelum disusuli ibunya pada 2014.

“Suasana asrama berbeza dengan rumah. Di sini, saya lebih fokus kepada pelajaran dan dapat mendalami ilmu agama kerana persekitarannya sangat bagus untuk pelajar,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia berazam mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini bagi mencapai impian bergelar doktor.

Katanya, dia kini mempunyai keluarga angkat di Pengkalan Hulu dan sentiasa pulang ke sana apabila ada masa lapang.

“Saya juga masih berhubung dengan abang dan kakak kandung serta bersyukur kerana mereka sentiasa mengambil berat hal saya,” katanya.

Penghuni Rumah Anak Yatim dan Miskin at-Taqwa bukan saja mengikuti pembelajaran formal di sekolah berhampiran serta Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) pada waktu petang, malah turut mempunyai jadual akademik dan agama menjelang malam serta hujung minggu.

Selain diasuh dari segi akademik, penghuni turut dididik dengan pembinaan sahsiah dan kemahiran sebagai persediaan masa depan yang lebih cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 10:23 AM